Nelayan, petani Lereh terus terpinggir, pembangunan pesisir rancak tetapi masalah rakyat gagal diselesaikan

MELAKA – Pembangunan pesisir pantai terus berjalan, namun nasib nelayan tradisional dan petani di Lereh masih dibelenggu masalah yang didakwa gagal diselesaikan kerajaan negeri meskipun aduan berulang kali disuarakan.

Daripada kawasan tangkapan ikan yang semakin terjejas akibat penambakan laut, bot nelayan yang masih disita, laluan muara cetek sehinggalah kemudahan infrastruktur yang terabai, penduduk mempersoalkan sejauh mana pembangunan yang dicanang benar-benar mengambil kira nasib masyarakat setempat.

Lebih mengecewakan, golongan yang bergantung kepada laut dan tanah untuk menyara keluarga mendakwa mereka terpaksa menanggung sendiri kesan perubahan pembangunan tanpa penyelesaian tuntas daripada pihak berkaitan.

Ahli Jawatankuasa Kelompok Kampung Pinang, Musa Arif berkata, aktiviti penambakan laut telah menjejaskan kawasan tangkapan tradisional sehingga memaksa nelayan pesisir pantai bergerak lebih jauh ke tengah laut untuk mendapatkan hasil.

Katanya, keadaan itu memberi tekanan besar kepada nelayan kecil yang tidak mempunyai bot dan kelengkapan sesuai untuk beroperasi jauh dari kawasan pantai.

“Masalah nelayan ini banyak. Pertama, yang saya lihat disebabkan tambakan laut yang berlaku di sini. Tambakan laut menyebabkan ramai nelayan terpaksa pergi lebih jauh daripada kawasan pantai.

“Mereka ini nelayan pantai, bukannya nelayan tongkang yang boleh pergi sampai ke laut lepas. Mereka hanya ada tempat-tempat tertentu sahaja yang boleh pergi. Apabila berlaku tambakan laut, ikan-ikan pula, sarangnya rosak dan semuanya lari ke tengah.

“Jadi, nelayan pesisir pantai ini semakin lama semakin sukar untuk mencari makan,” katanya.

Kesan itu bukan sekadar menjejaskan hasil tangkapan, malah menghakis pendapatan harian nelayan yang semakin terhimpit dengan peningkatan kos operasi.

Musa berkata, hasil tangkapan yang terlalu sedikit menyebabkan pendapatan perlu dibahagikan antara nelayan di atas bot, sedangkan jumlah yang diperoleh jauh daripada mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga.

“Awak tengok tadi, ikan yang naik dengan sampan yang sebesar ini hanya empat ekor. Jual dalam RM150. Minyak keluar pergi balik RM30.

“Dapat RM150, dua orang nelayan atas bot nak kongsi. Dapatlah seorang RM60. Agak-agak awak cukup ke RM60 untuk menampung satu keluarga untuk hidup dalam keadaan sekarang?

“Kadang-kadang ada yang pergi ke laut baling jaring, balik bawa jaring sahaja. Ikan seekor pun tak ada. Ini bukan perkara yang tidak berlaku, memang berlaku sekarang,” katanya.

Dalam keadaan sumber pendapatan semakin terjejas, nelayan turut berdepan persoalan mengenai tindakan penguatkuasaan terhadap bot yang tidak berdaftar.

Nelayan Sungai Lereh, Zainuddin Alwi membangkitkan kes sebuah bot yang didakwa masih disita meskipun pemiliknya telah menjelaskan kompaun RM2,000.

Menurutnya, tindakan menahan bot berkenaan berpanjangan hanya menambahkan beban kepada nelayan yang bergantung sepenuhnya kepada perahu untuk mencari rezeki.

“Benda ini sepatutnya bila kita dah bayar kompaun RM2,000, selepas itu perahu itu dapat baliklah. Jadi selesailah isu ini dan nelayan pun boleh cari makan.

“Sedangkan dekat darat pun kalau kena tahan motor atau kereta, masih ada peluang untuk digunakan semula bagi mencari makan. Tetapi dalam kes ini, perahu masih lagi ditahan dan tidak dilepaskan.

“Saya rasa perkara ini tidak berbaloi kerana mereka yang memohon lesen ini bukannya orang senang. Semuanya orang susah. Kita ini nelayan tradisional, nelayan pesisir pantai. Jadi perlulah kita kaji balik untuk beri kemudahan kepada semua nelayan tradisional di tepi pantai,” katanya.

Seolah-olah belum cukup dengan masalah hasil tangkapan dan penguatkuasaan, laluan keluar masuk di kawasan jeti turut menjadi satu lagi halangan kepada nelayan Lereh.

Musa berkata, mendapan pasir di muara sungai menyebabkan laluan bot semakin cetek dan masalah itu berulang kira-kira setiap enam bulan, sekali gus menyukarkan nelayan keluar ke laut serta kembali ke jeti.

Beliau mempersoalkan keberkesanan kerja-kerja penyelenggaraan yang didakwa menelan kos besar tetapi gagal memberikan penyelesaian jangka panjang.

“Setiap enam bulan, pasir akan timbul. Apa sepatutnya kerajaan buat? Penyelesaian muktamad. Sekali dia korek, dia keluar beratus ribu, tetapi selepas enam bulan pasir akan naik balik.

“Nelayan bila nak keluar, tersangkut. Nak masuk pun tersangkut. Terpaksa, kadang-kadang ada masa mereka terpaksa turun ke laut dan tolak sampan.

“Jadi, masalah ini memang menyukarkan kehidupan nelayan kerana laluan keluar masuk untuk mencari rezeki pun sudah menjadi satu cabaran,” katanya.

Persoalan lebih besar yang dibangkitkan penduduk ialah sejauh mana aduan yang disampaikan kepada wakil rakyat benar-benar diterjemahkan kepada tindakan.

Musa tidak menafikan kehadiran ADUN ke kawasan berkenaan setiap kali aduan dibuat, namun mempersoalkan hasil lawatan sekiranya masalah sama terus berulang tanpa penyelesaian.

Katanya, penduduk tidak lagi memerlukan sekadar kunjungan atau pengumuman peruntukan, sebaliknya mahu melihat tindakan yang mampu mengubah keadaan mereka.

“ADUN kita memang dia datang melawat. Satu orang telefon sahaja, sekejap lagi dia sampai.

“Tapi apa yang dia buat? Terima sahaja masalah yang nelayan hadapi ini, tapi tak ada penyelesaian.

“Datang ke mari, bawa penutupan. Ini saya nak bagi RM20 juta. Apa yang RM20 juta? Saya ada dengar baru-baru ini RM4 juta, RM10 juta nak bagi. Jangan datang ke ADUN-ADUN ini, datang ke pantai hanya bagi janji,” katanya.

Kritikan terhadap penyampaian perkhidmatan wakil rakyat itu turut dikongsi golongan petani yang mendakwa masalah infrastruktur dan kemudahan asas di kawasan kampung masih tidak ditangani secara berkesan.

Petani, Abdul Aziz Abdul Wahab berkata, wakil rakyat sepatutnya mengambil inisiatif mendapatkan sumber kewangan dan menggerakkan penyelesaian, bukannya hanya menunggu peruntukan yang dimohon daripada kerajaan.

Beliau menyifatkan lawatan ke kawasan bermasalah tanpa tindakan susulan tidak membawa perubahan kepada kehidupan penduduk.

“Saya tak puas hati dengan apa yang mereka dah bawa keluar setakat ini. Contohnya dari segi infrastruktur, mereka datang, buat janji tetapi akhirnya tidak bertitik.

“Mana dia datang, lawat, kemudian balik. Selepas itu tidak ada peruntukan. Sepatutnya dia sebagai wakil rakyat kena usahakan. Dia kena cari peruntukan, bukan dia menanti peruntukan yang datang.

“Walau macam mana pun, dia tak boleh hanya menunggu peruntukan yang dimohon. Dia kena cari jalan untuk menampung masalah yang sedang dihadapi rakyat sekarang. Sampai bila masalah yang rosak ini nak dibiarkan?” katanya.

Rentetan pelbagai isu itu, penduduk mahu kerajaan negeri memberikan penjelasan dan menetapkan tindakan susulan yang jelas, khususnya berhubung kesan pembangunan pesisir pantai, penyelenggaraan muara, urusan pelesenan bot serta masalah infrastruktur kampung.

Mereka juga mahu wakil rakyat memainkan peranan lebih tegas dalam mendesak agensi berkaitan, memastikan peruntukan disalurkan dan memantau pelaksanaan penyelesaian sehingga masalah benar-benar selesai.

Bagi masyarakat Lereh, ukuran sebenar pembangunan bukan sekadar projek tambakan, nilai pelaburan atau pengumuman peruntukan, tetapi sejauh mana kehidupan penduduk yang terkesan turut terbela.

Ketika pembangunan pesisir terus diberi perhatian, nelayan dan petani tidak seharusnya dibiarkan terus bergelut dengan masalah asas yang berulang.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat