Minta individu ada maklumat aktiviti penyelewengan Pas Khas tampil buat laporan – Imigresen

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) meminta jika ada individu yang mempunyai maklumat atau bukti penyelewengan pengeluaran Pas Khas melibatkan pagawainya, supaya membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Ketua Pengarahnya Datuk Zakaria Shaaban dalam satu kenyataan berkata laporan boleh dibuat terus kepada JIM atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan dijalankan.

“Penyaluran maklumat secara terus kepada pihak berkuasa amat penting, bagi memastikan kerahsiaan maklumat dan integriti bahan bukti dapat dipelihara.

“Pendedahan maklumat berkaitan kegiatan yang disyaki menyalahi undang-undang secara terbuka sebelum disalurkan kepada pihak berkuasa, dikhuatiri boleh menyebabkan pihak terlibat menghentikan kegiatan, mengubah modus operandi atau menghapuskan bahan bukti, sekali gus menyukarkan proses siasatan dan tindakan penguatkuasaan,” menurut kenyataan itu.

Zakaria menjelaskan JIM sentiasa terbuka menerima maklumat tentang salah laku pegawai dan memberi jaminan setiap maklumat yang diterima, akan diteliti serta disalurkan untuk tindakan mengikut undang-undang dan peraturan berkuat kuasa.

JIM memandang serius dakwaan berkenaan penyelewengan pengeluaran Pas Khas dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku, penyalahgunaan kuasa atau pelanggaran integriti oleh pegawai jabatan itu tanpa mengira pangkat dan kedudukan, katanya.

Zakaria menambah, seramai 849 orang pegawai Imigresen dikenakan tindakan tatatertib untuk tempoh 2023 hingga Oktober tahun ini, termasuk ada 73 orang pegawai dibuang kerja.

Bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini sahaja, 96 pegawai dikenakan tindakan tatatertib, termasuk 18 dibuang kerja.

“Statistik ini mencerminkan ketegasan JIM dalam mengambil tindakan terhadap pegawai yang didapati melakukan pelanggaran tatatertib, tanpa mengira pangkat atau kedudukan.

“JIM akan terus memperkukuh aspek integriti, pematuhan prosedur dan mekanisme kawalan dalaman bagi memastikan setiap urusan perkhidmatan dilaksanakan secara telus, teratur dan berlandaskan undang-undang,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat