SEMENYIH — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan perbincangan dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz bagi mencari kaedah memastikan syarikat minyak dan gas negara itu terus memainkan peranan sebagai penaja utama MotoGP pada tahun-tahun akan datang.
Langkah itu susulan pertemuan beliau dengan Pengerusi Eksekutif MotoGP, Carmelo Ezpeleta yang menyatakan hasrat supaya PETRONAS meneruskan penglibatannya dalam kejohanan permotoran berprestij dunia berkenaan.
Menurut Ahmad Zahid, Ezpeleta memaklumkan tahun ini merupakan tahun terakhir PETRONAS menjadi penganjur, selain berharap syarikat tempatan atau syarikat minyak nasional terus mengambil peranan sebagai penaja berbanding syarikat antarabangsa.
“Saya telah berjumpa dengan Mr. Carmelo, Pengerusi Eksekutif MotoGP sedunia dan beliau telah menawarkan kepada Petronas untuk terus menjadi penganjur kepada MotoGP.
“Beliau memberitahu saya bahawa tahun ini adalah tahun terakhir untuk Petronas menjadi organisator tetapi di negara-negara lain, syarikat-syarikat minyak nasional mereka atau syarikat-syarikat tempatan menjadi penaja dan beliau meminta supaya bukan syarikat minyak luar negara atau syarikat minyak antarabangsa atau sebarang syarikat multinasional (multinational corporation) yang menjadi penaja.
“Saya akan bertemu dengan Tengku Taufik untuk bincangkan perkara ini walaupun mungkin dari segi kosnya agak berat, tapi saya fikir ada beberapa kaedah yang lain bagi menentukan bahawa Petronas ini tetap menjadi penganjur utama dan penaja di dalam MotoGP tahun-tahun berikutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sembang Santai MotoGP di Fifty Seven Coffee, Semenyih malam tadi.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid turut melihat penganjuran dan penglibatan Malaysia dalam sukan permotoran antarabangsa sebagai peluang untuk memperluaskan pembangunan bakat tempatan, khususnya dalam bidang teknikal dan penyelenggaraan motosikal berprestasi tinggi.
Katanya, usaha melahirkan lebih ramai mekanik perlumbaan perlu diperkasakan menerusi kerjasama dengan institusi latihan kemahiran, termasuk menyediakan pendedahan kepada standard serta teknologi yang digunakan dalam perlumbaan antarabangsa.
Beliau berkata, ketika ini terdapat tiga mekanik rakyat Malaysia yang sedang bekerja di luar negara dan terlibat secara langsung dalam penyelenggaraan motosikal yang menyertai perlumbaan di peringkat antarabangsa.
Ahmad Zahid turut menarik perhatian terhadap potensi pendapatan dalam bidang berkenaan yang mampu menawarkan pulangan lumayan kepada tenaga mahir tempatan.
“Sebagaimana yang disebutkan tadi bahawa terdapat tiga mekanik daripada Malaysia yang berada di luar negara sekarang yang menjadi mekanik pada motor-motor yang menyertai perlumbaan di peringkat antarabangsa.
“Gajinya kita ketahui bukan gaji yang murah. Disebutkan tadi oleh Fahmi, gajinya adalah AS$14,000.
“Bayangkanlah jika ini kita galakkan dan ramai pelumba-pelumba daripada Malaysia akan berada di peringkat antarabangsa, mereka akan membawa mekanik ini untuk bersama dengan mereka.
“Dari segi pendedahan, saya fikir ini adalah satu pendekatan yang baik yang boleh kita galakkan untuk meramaikan lagi mekanik motor perlumbaan dan superbikers dari Malaysia,” katanya.
Mengulas latar belakang minatnya dalam sukan permotoran, Ahmad Zahid berkata beliau mula menunggang motosikal sejak 1973 ketika masih menuntut di tahun pertama Universiti Malaya.
Malah, minat tersebut diteruskan selepas menamatkan pengajian apabila beliau memilih membeli motosikal berbanding kereta seperti kebanyakan rakan seperjuangannya yang mula bekerja.
Menariknya, motosikal yang dibelinya ketika itu masih disimpan sehingga hari ini, sekali gus menggambarkan minat mendalam beliau terhadap dunia permotoran.


