KUALA LUMPUR- Kerajaan sedia mempertimbangkan syor mendedahkan laporan penuh jawatankuasa khas menyiasat dakwaan pemilikan saham bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pendedahan itu akan dibuat berdasarkan pertimbangan sewajarnya, jika terdapat keperluan.
Keputusan itu, katanya perlu mengambil kira peruntukan perundangan yang berkuat kuasa, terutama berkaitan perlindungan maklumat peribadi, kerahsiaan dokumen siasatan dan rekod perisytiharan harta serta kepentingan pihak berkaitan, lapor BH.
“Pengumuman mengenainya akan dibuat Pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN) seperti kenyataan media pada 31 Mac lalu, jika terdapat sebarang perkembangan atau keputusan rasmi berkaitan perkara ini yang wajar dimaklumkan kepada umum.
“Isu berhubung pemilikan dan perisytiharan harta, termasuk pegangan saham Azam sudah diteliti Jawatankuasa Khas Siasatan ditubuhkan pada 13 Februari lalu, selain soalan sama pernah ditanyakan Yang Berhormat pada 25 Jun.
“Jawatankuasa berkenaan sudah menyelesaikan siasatannya secara bebas, telus dan profesional dengan hasil siasatan sudah dibentangkan kepada Jemaah Menteri,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di portal Parlimen pada Jumaat.
Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai dapatan jawatankuasa khas dakwaan pemilikan saham Azam dan tindakan akan diambil ke atasnya serta kesediaan kerajaan mendedahkan laporan berkenaan.



