Dakwaan rasuah RM350,000: Laporan polis desak Pegawai Kanan SPRM direhatkan sementara siasatan

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan membuat laporan polis mendesak supaya pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Saiful Ezran Arifin, direhatkan sementara daripada menjalankan tugas sehingga siasatan berhubung dakwaan penerimaan wang RM350,000 diselesaikan.

Pengadu, Affendy Zainan Karap, 52, berkata langkah itu perlu bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara bebas, telus dan tanpa sebarang kemungkinan campur tangan atau konflik kepentingan.

Laporan polis berkenaan dibuat di Balai Polis Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur, pada pukul 8.12 malam tadi.

Menurut Affendy, dakwaan terhadap pegawai kanan sebuah agensi penguatkuasaan merupakan perkara serius yang menuntut tindakan segera bagi memelihara integriti institusi berkenaan.

“Saya dengan ini mendesak supaya Datuk Saiful Ezran Arifin direhatkan sementara daripada menjalankan tugas rasmi, disekat akses ke pejabat rasmi sehingga siasatan selesai, tertakluk kepada peraturan perkhidmatan yang berkuat kuasa,” katanya dalam laporan polis tersebut.

Beliau turut mempersoalkan mengapa pegawai kanan yang berdepan dakwaan serius masih dibenarkan menjalankan tugas rasmi, memegang kuasa dan mempunyai akses kepada urusan agensi yang berkaitan dengan siasatan terhadapnya.

Katanya, keadaan itu berpotensi menimbulkan persoalan mengenai kebebasan siasatan, termasuk risiko campur tangan, gangguan terhadap saksi atau penyalahgunaan kedudukan.

Bagaimanapun, Affendy menegaskan risiko berkenaan belum dibuktikan berlaku dan tindakan merehatkan pegawai terbabit bukan bermaksud beliau telah didapati bersalah.

“Langkah ini bukan bermaksud beliau telah didapati bersalah, walaupun urusan serah terima wang itu diakui pemberi dan laporan polis juga dibuat oleh pegawai dari jabatan yang sama, sebaliknya penting bagi melindungi integriti siasatan dan mengelakkan sebarang konflik kepentingan,” katanya.

Affendy merujuk laporan media mengenai siasatan terhadap Saiful Ezran berhubung dakwaan penerimaan RM350,000 daripada seorang individu.

Beliau turut membangkitkan laporan polis yang dikatakan dibuat seorang pegawai penyiasat SPRM, Maharidzwan Mahadzir, pada 11 Oktober lalu serta maklumat yang mengaitkan seorang individu bernama Azeez Abdul Rahim dengan dakwaan penyerahan wang tersebut.

Menurutnya, kesahihan dan hubungan antara maklumat berkenaan perlu ditentukan melalui siasatan pihak berkuasa.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar mengesahkan polis membuka dua kertas siasatan berhubung dakwaan penerimaan wang RM350,000 oleh seorang pegawai kanan SPRM pada 13 November 2017.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan berkaitan penerimaan benda berharga oleh penjawat awam, manakala satu lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan dakwaan fitnah serta penyalahgunaan kemudahan rangkaian.

SPRM sebelum ini turut mengumumkan penubuhan pasukan khas bagi meneliti semula dakwaan tersebut yang pernah disiasat pada 2018, namun ditutup selepas tiada kesalahan dapat dibuktikan ketika itu.

Dalam perkembangan sama, Affendy menggesa kerajaan tidak mengamalkan sikap pilih kasih atau dwistandard dalam penguatkuasaan undang-undang, khususnya apabila dakwaan melibatkan pegawai kanan agensi kerajaan.

“Pangkat, jawatan, kedudukan tidak boleh dijadikan perisai daripada siasatan atau tindakan undang-undang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan kerajaan mengenai pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sering menegaskan bahawa Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi terhadap rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Katanya, prinsip tersebut perlu dibuktikan melalui tindakan, bukannya sekadar kenyataan.

Affendy juga mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM), SPRM dan kerajaan memastikan siasatan dilaksanakan secara menyeluruh serta mengumumkan hasilnya kepada masyarakat setakat yang dibenarkan undang-undang.

Beliau menegaskan, sekiranya siasatan menemukan bukti kesalahan, tindakan pendakwaan atau tatatertib sewajarnya diambil tanpa mengira kedudukan individu terbabit.

Sebaliknya, jika tiada kesalahan dibuktikan, keputusan itu juga perlu dijelaskan secara terbuka bagi mengelakkan persepsi bahawa pihak tertentu dilindungi.

“Saya tidak mahu kes seperti ini akhirnya disenyapkan, dilengah-lengahkan atau disembunyikan tanpa penjelasan kepada masyarakat.

“Kerajaan tidak boleh tegas hanya kepada rakyat biasa tetapi dilihat berlembut apabila dakwaan melibatkan pegawai kanan sendiri,” katanya.

Affendy menegaskan laporan polis itu dibuat bukan untuk menghukum mana-mana individu sebelum kesalahan dibuktikan, sebaliknya bagi memastikan prinsip kedaulatan undang-undang dilaksanakan secara adil.

“Jangan dibiarkan kes seperti ini akhirnya disapu ke bawah permaidani atas alasan ‘You jaga I dan I jaga You’,” katanya.

Sebelum ini, pada 11 Oktober lalu Suara TV melaporkan bahawa seorang pegawai penyiasat SPRM, Maharidzwan Mahadzir, telah membuat laporan polis di Putrajaya bagi menafikan penglibatannya dalam penerimaan atau penggunaan wang RM350,000 yang didakwa sebagai sumbangan bagi program pencegahan rasuah.

Dalam laporan sama, Maharidzwan turut memohon polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan terhadap seorang pegawai kanan SPRM yang dinamakan sebagai Datuk Saiful berhubung dakwaan penerimaan wang tersebut pada November 2017.

SuaraTV turut melaporkan bahawa SPRM telah menubuhkan pasukan khas untuk meneliti semula dakwaan berkenaan yang pernah disiasat pada 2018, namun kes itu ditutup selepas tiada kesalahan berjaya dibuktikan ketika itu.

Penubuhan pasukan khas tersebut dibuat susulan arahan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, bagi memastikan integriti suruhanjaya terus terpelihara dan keyakinan masyarakat terhadap institusi antirasuah negara tidak terjejas.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat