Sultan Selangor pilih bina perpustakaan untuk rakyat berbanding monumen kemajuan negeri – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj memilih untuk membina sebuah perpustakaan bagi manfaat rakyat berbanding mendirikan monumen bagi memperingati kemajuan negeri itu.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Pengerusi The Edge Media Group, Tan Sri Tong Kooi Ong, yang menurut Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, mencerminkan keutamaan Sultan Selangor terhadap kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Tengku Zafrul berkata, kisah berkenaan memperlihatkan prinsip pemerintahan baginda yang mengutamakan sesuatu yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat berbanding pembinaan monumen semata-mata.

“Bila dicadangkan sebuah monumen untuk memperingati kemajuan Selangor, Tuanku Sultan memilih untuk membina perpustakaan untuk rakyat.

“Bagi Tuanku, sesuatu yang memberi manfaat kepada rakyat lebih bermakna daripada sebuah monumen,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Beliau berkongsi perkara itu selepas menghadiri majlis pelancaran edisi khas The Edge bertajuk A Leader for the People, sempena sambutan Jubli Perak pemerintahan Sultan Selangor, semalam.

Menurut Tengku Zafrul, penerbitan khas tersebut mendokumentasikan perjalanan 25 tahun pemerintahan Sultan Sharafuddin, termasuk keprihatinan baginda terhadap kebajikan rakyat serta usaha memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum di Selangor.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada The Edge atas inisiatif mendokumentasikan sejarah pemerintahan Sultan Selangor sebagai rujukan dan tatapan generasi akan datang.

“Tahniah kepada The Edge atas usaha mendokumentasikan sejarah pemerintahan Tuanku untuk tatapan generasi akan datang,” katanya.

Dalam hantaran sama, Tengku Zafrul turut merafak sembah ucapan tahniah sempena Jubli Perak pemerintahan Sultan Sharafuddin.

Beliau juga mendoakan agar Allah SWT terus mengurniakan kesihatan, keberkatan dan usia yang panjang kepada Sultan Selangor serta Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.

“Daulat Tuanku. Menjunjung kasih, Tuanku,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat