KUALA LUMPUR – Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) mengambil keputusan menarik diri daripada bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di bawah Perikatan Nasional (PN) susulan kegagalan rundingan antara MIPP dan kepimpinan PN.
Presidennya S P Punithan berkata, bagi MIPP, maruah dan prinsip perjuangan lebih penting daripada mengejar kerusi yang tidak relevan.
Tegas beliau, MIPP tidak akan menggadaikan prinsip semata-mata demi kepentingan politik, kerana bukan parti yang boleh berkompromi semata-mata mahu menjadi calon.
Tambahnya, semangat berpasukan, saling menghormati dan keterangkuman merupakan asas penting dalam sesebuah gabungan politik.
“Sebuah gabungan yang kukuh tidak boleh hanya bergantung pada kekuatan parti-parti tertentu, sebaliknya perlu dibina atas semangat kebersamaan, kepercayaan dan kesediaan untuk menghormati kepentingan setiap parti komponen,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut Punithan lagi, perjuangan MIPP adalah untuk membela nasib masyarakat India dengan bermaruah, berprinsip dan tanpa kompromi.
Jelasnya, MIPP percaya bahawa suara serta kepentingan masyarakat India perlu diberikan pengiktirafan dan kedudukan yang sewajarnya dalam landskap politik negara.
Sehubungan itu, katanya, apabila rundingan gagal mencapai persetujuan, MIPP perlu membuat keputusan berdasarkan prinsip, maruah dan mandat perjuangan parti.
“Kerusi boleh dicari, tetapi maruah perjuangan tidak boleh digadaikan,” katanya memetik MalaysiaGazette.
PN dijadualkan mengumumkan calon mereka yang akan bertanding di tujuh kerusi PRN Melaka malam ini, iaitu baki daripada 28 kerusi seperti yang dipersetujui menerusi kerjasama politik bersama Barisan Nasional (BN).



