SEREMBAN — Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin mempertikaikan kesahan warta Kerajaan Negeri Sembilan bertarikh 26 Oktober 2026 berhubung pemecatan serta pelantikan beberapa penyandang jawatan adat negeri.
Dalam dokumen bertajuk “KENYATAAN MEDIA BERSAMA DYMM YANG DI-PERTUAN BESAR NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS, YTM UNDANG YANG EMPAT, YTM TUNKU BESAR TAMPIN” bertarikh 29 Oktober, mereka mendakwa warta berkenaan tidak sah, tidak mempunyai kesan undang-undang serta bertentangan dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Kenyataan itu merujuk laporan mengenai pewartaan pemecatan Undang Luak Sungei Ujong, Dato’ Mubarak Thahak; Undang Luak Jelebu, Dato’ Maarof Haji Mat Rashad; serta Dato’ Shahbandar Sungei Ujong, Dato’ Seri Utama Haji Badarudin Abdul Khalid.
Ia turut menyentuh pewartaan pelantikan pihak lain sebagai Undang Luak Sungei Ujong, Jelebu dan Rembau yang baharu.
Menurut kenyataan tersebut, mereka percaya pewartaan itu dikeluarkan tanpa kelulusan sah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), yang disifatkan sebagai badan eksekutif negeri yang sah menurut Perkara 35 dan Perkara 40 UUTKNS 1959.
Mereka turut menegaskan bahawa pewartaan tidak boleh membetulkan atau memuktamadkan keputusan yang bertentangan dengan perlembagaan negeri serta mempunyai kecacatan dari segi adat.
Pertikai korum sidang DKU
Antara asas bantahan yang dikemukakan ialah dakwaan bahawa tiada sidang Dewan Keadilan dan Undang (DKU) yang sah serta memenuhi syarat korum dapat diadakan selepas 17 April 2026.
Menurut kenyataan itu, injunksi ad interim Mahkamah Tinggi Seremban menghalang Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungei Ujong daripada mengadakan atau menghadiri sidang DKU.
Mereka berhujah bahawa Perkara 20 UUTKNS 1959 mensyaratkan kehadiran sekurang-kurangnya empat ahli tetap, tidak termasuk pengerusi, bagi membolehkan sidang membuat keputusan atau memberikan nasihat yang sah.
Berdasarkan tafsiran yang dikemukakan dalam kenyataan tersebut, sekurang-kurangnya lima orang termasuk pengerusi perlu bersidang. Jika korum tidak mencukupi, sidang hanya boleh ditangguhkan.
Sehubungan itu, mereka mempertikaikan sidang DKU pada 31 Julai 2026 dengan mendakwa hanya Tunku Besar Seri Menanti merupakan ahli tetap yang sah hadir, manakala kedudukan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dipertikaikan oleh mereka.
Atas alasan tersebut, kenyataan itu mendakwa tiada keputusan atau nasihat sah berhubung kedudukan mana-mana Undang Luak boleh diputuskan dalam sidang berkenaan.
Mereka turut mendakwa penganjuran sidang tersebut melanggar perintah injunksi ad interim bertarikh 5 Jun 2026 yang, menurut kenyataan itu, menghalang sidang DKU diadakan sehingga permohonan berkaitan dilupuskan oleh Mahkamah Tinggi Seremban.
Persoal kuasa mengarahkan pewartaan
Kenyataan bersama itu turut mempertikaikan kuasa Tuanku Muhriz untuk mengarahkan pewartaan keputusan atau nasihat daripada sidang DKU berkenaan.
Menurut pendirian yang dinyatakan mereka, Tuanku Muhriz telah diturunkan takhta dan tidak lagi boleh menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Besar sejak 15 September 2026, berdasarkan pengumuman MMKN yang dirujuk dalam kenyataan tersebut.
Mereka turut menyatakan bahawa perkhidmatan Raja Norazli sebagai Setiausaha DKU telah ditamatkan oleh Tuanku Nadzaruddin pada 17 September 2026.
Berdasarkan pendirian itu, mereka mendakwa kedua-dua pihak tidak mempunyai kedudukan untuk mengarahkan atau melaksanakan pewartaan berkaitan hal ehwal DKU.
Kenyataan tersebut mengekalkan pendirian bahawa tiada nasihat DKU yang sah di bawah Perkara 16(3) UUTKNS 1959 bagi mengabsahkan pemecatan Undang Luak asal atau pelantikan Undang Luak baharu.
Justeru, menurut mereka, status quo penyandang jawatan Undang Luak kekal sebagaimana sebelum 17 April 2026.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan atas nama Tuanku Nadzaruddin, yang menggunakan gelaran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan; Undang Luak Sungei Ujong, Dato’ Mubarak Thahak; Undang Luak Jelebu, Dato’ Maarof Haji Mat Rashad; Undang Luak Johol, Dato’ Muhammed Abdullah; Undang Luak Rembau, Dato’ Haji Abdul Rahim Haji Yasin; serta Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri.
Mereka turut menyeru pihak berkuasa dan pengamal media supaya bertindak profesional, menilai fakta serta merujuk sumber berautoriti sebelum mengambil tindakan atau membuat hebahan umum.



