KUALA LUMPUR – Aktivis politik Badrul Hisham Shaharin (Chegubard) dijatuhi hukuman penjara 4 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas kesalahan fitnah jenayah membabitkan kenyataan yang boleh mencemarkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.
Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Peguamnya, Rafique Rashid Ali, berkata hukuman berkenaan diputuskan selepas mahkamah mendengar hujahan mitigasi daripada pihak pembelaan dan pendakwaan.
Bagaimanapun katanya, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dibuat oleh Chegubard di Mahkamah Tinggi.
Mahkamah turut menaikkan jumlah jaminan Chegubard kepada RM5,000.
Chegubard, 47, didakwa pada 29 April 2024 berhubung kesalahan yang didakwa dilakukan pada 22 Januari tahun sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Chegubard ketika dihubungi berkata pada awalnya mahkamah telah mengenepikan pertuduhan terhadapnya sebelum ini.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan mengemukakan rayuan yang akhirnya keputusan hukuman penjara empat bulan dikenakan terhadapnya.
Katanya, tuduhan terhadapnya dibuat berdasarkan satu video himpunan di hadapan Istana Negara pada tahun 2024 yang telah disunting dengan menggunakan akaun media sosial palsu.
“Pada peringkat pendakwaan kes ini telah dibuang, kemudian rayuan masuk oleh timbalan pendakwa raya…hakim yang sama dah buang (kes) di peringkat pendakwaan akhirnya hari ini hakim menjatuhkan hukuman penjara.
“Kita mohon hukuman ditangguhkan meskipun dibantah oleh timbalan pendakwa raya, namun hakim memberi kebenaran,” katanya lapor Malaysiakini.
Untuk rekod, Chegubard sebelum ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen pada 2025.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi pada tahun ini memerintahkan Chegubard membela diri sebelum prosiding diteruskan sehingga keputusan hukuman hari ini.


