KUALA LUMPUR – Seramai 2,097 orang pegawai dan anggota polis ditangkap berkaitan kes dadah, samun dan rasuah bagi tempoh 2021 hingga Ogos 2026, demikian menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).
KDN memaklumkan jumlah itu merangkumi 1,551 orang bagi kesalahan dadah, 64 orang bagi kesalahan samun dan 482 orang ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bagi kesalahan dadah, kesemua tangkapan dibuat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, dengan 357 orang ditangkap pada 2021, diikuti 248 (2022), 245 (2023), 310 (2024), 256 (2025) dan 135 orang bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
“Bagi kesalahan samun pula, 10 orang ditangkap masing-masing pada 2021, 2022, 2025 dan lapan bulan pertama tahun ini, manakala 11 individu pada 2023 dan 13 orang pada 2024.
“Tangkapan warga PDRM oleh SPRM pula melibatkan 77 orang pada 2021, 86 orang (2022), 129 orang (2023), 53 orang (2024), 87 orang (2025) dan 50 orang bagi Januari hingga Ogos tahun ini,” menurut KDN dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman web Parlimen.
Itu adalah jawapan KDN kepada soalan Ahli Parlimen (PH-Kepong) Lim Lip Eng tentang jumlah anggota polis yang ditangkap kerana kesalahan-kesalahan berkaitan dadah, samun dan rasuah sejak 2021.
Beliau juga ingin mengetahui apa status siasatan terhadap 12 orang anggota polis yang disyaki merompak kira-kira RM200,000 mata wang kripto daripada sekumpulan warganegara China di Country Heights, Kajang pada 5 Februari lalu.
Berhubung status siasatan terhadap 12 anggota polis itu, KDN memaklumkan PDRM telah membuka kertas siasatan dan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.



