KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mempertikaikan tindakan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memanggil mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) hari ini ketika status pendaftaran gabungan itu masih menjadi pertikaian di mahkamah.
Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tindakan meneruskan mesyuarat berkenaan dikhuatiri mempunyai implikasi perundangan serius susulan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membatalkan pendaftaran PN berkuat kuasa 20 Oktober lalu.
Menurutnya, BERSATU menerima surat jemputan daripada Takiyuddin bertarikh 23 Oktober bagi menghadiri mesyuarat tergempar tersebut, namun beliau telah membalas surat berkenaan untuk mendapatkan penjelasan mengenai beberapa isu penting.
Azmin berkata, walaupun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Oktober membenarkan permohonan penggantungan pelaksanaan perintah pembatalan pendaftaran PN, keputusan itu tidak semestinya memulihkan pendaftaran gabungan berkenaan secara automatik.
Beliau merujuk perenggan 12 Ringkasan Alasan Penghakiman yang menurutnya mengambil maklum bahawa pembatalan pendaftaran PN telah pun berkuat kuasa.
Keadaan itu, katanya, menjadi lebih rumit apabila Peguam Kanan Persekutuan memfailkan Notis Rayuan pada 23 Oktober bagi pihak Pendaftar Pertubuhan dan Menteri Dalam Negeri terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.
“Persoalan yang berbangkit ialah mengapa Datuk Seri Takiyuddin mengeluarkan surat bertarikh 23 Oktober 2026 untuk memanggil mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi Perikatan Nasional apabila beliau sedia maklum bahawa pada hari yang sama, satu Notis Rayuan telah difailkan di Mahkamah Rayuan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Azmin berkata, BERSATU berpandangan semua pihak sepatutnya memelihara status quo keputusan RoS sehingga keseluruhan proses perundangan selesai.
Beliau turut mengingatkan mengenai peruntukan Seksyen 41 Akta Pertubuhan 1966 berkaitan pertubuhan yang pendaftarannya dibatalkan serta Seksyen 42 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun bagi kesalahan tertentu melibatkan pengurusan pertubuhan yang menyalahi undang-undang.
“Sekiranya PAS dan sekutunya masih meneruskan mesyuarat ‘Majlis Tertinggi Perikatan Nasional’ dalam situasi yang dijelaskan di atas, BERSATU khuatir perjalanan mesyuarat dan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat ini mempunyai implikasi perundangan yang serius,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Azmin turut membangkitkan pertikaian terdahulu mengenai hak BERSATU untuk menghadiri, memberikan pandangan dan mengundi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu.
Menurutnya, kepimpinan PN sebelum ini pernah mempertikaikan isu korum Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU sehingga didakwa menjejaskan keabsahan penyertaan parti itu dalam mesyuarat gabungan berkenaan.
Beliau berkata, keanggotaan BERSATU dalam PN juga pernah dipersoalkan walaupun RoS melalui surat bertarikh 12 Ogos 2026 telah menegaskan bahawa BERSATU merupakan parti anggota yang sah.
Sehubungan itu, Azmin menegaskan PAS dan sekutunya perlu menjelaskan pendirian mengenai kedua-dua isu berkenaan sebelum mengadakan mesyuarat tergempar yang turut menjemput wakil BERSATU.
“Maka, apabila hari ini PAS dan sekutunya ‘merancang’ untuk mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi Perikatan Nasional dan menjemput wakil-wakil BERSATU untuk hadir, adalah menjadi pra-syarat dan *sine qua non* bagi mereka untuk menyatakan pendirian mengenai isu korum MPT BERSATU dan keanggotaan BERSATU dalam Perikatan Nasional,” katanya.
Azmin berkata, kegagalan menjelaskan isu berkenaan turut menimbulkan persoalan mengenai kesahan notis mesyuarat yang dikeluarkan.
Beliau menegaskan BERSATU akan mendapatkan pandangan pasukan peguam sebelum mengambil sebarang pendirian lanjut, termasuk mengenai perjalanan mesyuarat dan keputusan yang mungkin dibuat.
Setakat kenyataan itu dikeluarkan, BERSATU belum mengumumkan sama ada wakilnya akan menghadiri mesyuarat tergempar tersebut.
Kenyataan Azmin itu sekali gus memperlihatkan pertikaian antara BERSATU dengan PAS bukan sahaja berkaitan status perundangan PN, malah turut melibatkan hak keanggotaan dan penyertaan BERSATU dalam proses membuat keputusan gabungan berkenaan.



