Pakar patologi buat laporan polis, dakwa ditekan peguam keluarga tahanan ketika sesi bedah siasat

KUALA LUMPUR – Seorang pakar patologi forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) membuat laporan polis selepas mendakwa berasa tertekan dan tidak selesa dengan tindakan seorang peguam yang didakwa mendesaknya menunjukkan gambar bedah siasat seorang lelaki yang meninggal dunia selepas berada dalam tahanan polis.

Pakar Patalogi bertaraf Profesor itu dikatakan membuat laporan di Balai Polis Cheras pada 13 Oktober lalu berhubung pertemuan bersama tiga peguam keluarga Allahyarham Noorizwan Zulkefly, 42, yang meninggal dunia pada 1 Oktober lalu.

Tiga peguam yang dinamakan dalam laporan tersebut ialah N. Surendran, Latheefa Koya dan Wan Nabilah Dina Wan Zamri.

Menurut kandungan laporan polis berkenaan, pertemuan itu berlangsung di Unit Forensik HCTM dengan kehadiran ahli keluarga Allahyarham bagi mendapatkan penjelasan mengenai hasil pemeriksaan bedah siasat.

Pakar tersebut mendakwa seorang peguam berkeras meminta beliau menunjukkan gambar bedah siasat walaupun laporan penuh pemeriksaan tersebut masih belum diperoleh.

Peguam berkenaan juga didakwa meninggikan suara dan terus mendesak supaya gambar ditunjukkan atas alasan pihak keluarga bimbang bahan bukti mungkin dihapuskan pada kemudian hari.

Menurut laporan itu, peguam tersebut turut mempersoalkan kemungkinan bedah siasat perlu dilakukan sekali lagi selepas jenazah dikebumikan sekiranya bukti tidak diperoleh lebih awal.

Lebih serius, pakar tersebut mendakwa peguam terbabit menyatakan bahawa beliau juga boleh berdepan tindakan pendakwaan sekiranya laporan bedah siasat yang disediakan tidak selaras dengan bukti yang dimiliki pihak peguam.

Susulan keadaan tersebut, pakar patologi itu mendakwa beliau berasa tertekan dan tidak selesa ketika menjalankan tanggungjawab profesionalnya sehingga akhirnya menunjukkan gambar bedah siasat kepada mereka yang hadir.

Beliau kemudian memberikan penerangan mengenai kecederaan yang ditemukan berdasarkan gambar berkenaan.

Bagaimanapun, Dr Faridah menegaskan bahawa beliau telah melarang pihak yang hadir mengambil gambar atau merakam penjelasannya, meskipun peguam berkenaan dilaporkan mencatat penerangan yang diberikan.

Dalam laporannya, beliau menjelaskan bahawa gambar bedah siasat merupakan bahan sensitif yang mungkin mengandungi maklumat perubatan serta bukti forensik.

Sehubungan itu, akses kepada bahan tersebut perlu dikendalikan secara berhati-hati dan tertakluk kepada undang-undang, arahan yang sah serta prosedur yang berkuat kuasa.

Beliau turut menegaskan bahawa laporan polis itu bukan bertujuan menghalang proses keadilan atau menafikan hak mana-mana pihak yang dibenarkan undang-undang untuk mendapatkan maklumat berkaitan.

Sebaliknya, beliau mahu kejadian tersebut direkodkan secara rasmi kerana bimbang terhadap cara permintaan dibuat, keadaan yang membawa kepada pendedahan gambar serta implikasinya terhadap kerahsiaan dan pengendalian bahan forensik.

Beliau turut memohon polis menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada berlaku sebarang pelanggaran undang-undang atau prosedur dalam kejadian tersebut.

Sementara itu, Lawyers for Liberty (LFL) sebelum ini mempertahankan tindakan peguam keluarga Allahyarham yang mendapatkan penjelasan daripada pakar patologi berhubung penemuan kecederaan pada tubuh Noorizwan.

LFL turut memaklumkan bahawa dua pegawai kanan polis Bukit Aman hadir dalam pertemuan bersama pakar patologi berkenaan dan menyifatkan siasatan terhadap peguam keluarga sebagai satu bentuk intimidasi.

Kes kematian Noorizwan mendapat perhatian selepas peguam keluarganya mendedahkan penemuan bedah siasat yang menunjukkan 21 kecederaan pada tubuh Allahyarham, termasuk trauma tumpul pada kepala yang dilaporkan sebagai punca kematian.

Allahyarham sebelum itu ditahan polis bagi membantu siasatan beberapa kes jenayah sebelum dibawa ke HCTM dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Siasatan berhubung kematiannya dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS). – Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat