KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok memenangi saman fitnah terhadap Datuk Dr Akmal Salleh apabila Mahkamah Tinggi Melaka, memerintahkan pembayaran ganti rugi am dan ganti rugi teruk berjumlah RM250,000 kepada beliau.
Peguam Teresa, Datuk Sankara Nair, dalam kenyataan berkata, Hakim Isa Aziz Ibrahim turut mengeluarkan perintah injunksi bagi menghalang Ketua Pemuda Umno itu daripada membuat kenyataan berunsur fitnah terhadap Teresa itu pada masa hadapan.
Beliau berkata, mahkamah turut memerintahkan supaya kenyataan yang dipertikai itu dipadamkan daripada semua platform media sosial.
Selain itu, Akmal diperintahkan membayar kos mahkamah sebanyak RM50,000 kepada Teresa.
Sankara berkata Teresa yang juga Naib Pengerusi DAP, menyambut baik keputusan mahkamah itu.
“Beliau menganggap keputusan ini sebagai satu langkah penting dalam melindungi reputasinya dan memastikan individu bertanggungjawab atas penerbitan kenyataan berunsur fitnah.
“Perbincangan awam, termasuk perdebatan mengenai perkara berkepentingan awam, perlu dilakukan secara bertanggungjawab.
“Kebebasan untuk menyuarakan pendapat tidak mengecualikan sesiapa daripada menanggung akibat undang-undang kerana menerbitkan kenyataan berunsur fitnah terhadap orang lain,” katanya menurut NST di Melaka.
Sankara berkata, Teresa berharap keputusan itu menjadi peringatan bahawa hak seseorang untuk menjaga reputasi dirinya dilindungi oleh undang-undang.
“Beliau mengatakan media sosial tidak seharusnya digunakan sebagai platform untuk menyebarkan kenyataan yang menjejaskan kedudukan dan maruah orang lain secara tidak sah,” katanya.
Pada 2024, Teresa memfail saman fitnah terhadap Akmal berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah dan ditujukan kepada beliau berkaitan isu pensijilan halal negara.
Beliau mendakwa Akmal memfitnahnya menerusi dua artikel yang diterbitkan di sebuah portal berita bertajuk “Akmal: Saya Minta Kerajaan Sediakan Logo Non-Halal, Tampal Pada Dahi Teresa” dan “Umno Youth Chief swipes at ‘old Nyonya’ Teresa over halal cert” pada 8 September tahun berkenaan.
Kes saman itu diteruskan ke perbicaraan penuh pada Februari tahun ini selepas usaha penyelesaian antara kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan.



