KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan Majlis Perkhidmatan Parlimen adalah sebuah institusi yang berkhidmat untuk seluruh Parlimen dan bukan milik kerajaan.
Beliau menjelaskan matlamat penubuhan majlis itu adalah untuk memberikan Parlimen keupayaan institusi untuk mengurus pentadbiran sendiri dengan cekap, profesional dan berintegriti.
“Atas semangat itu, kerajaan bersetuju supaya dua wakil pembangkang turut menganggotai majlis ini, sebagaimana dipersetujui ketika akta ini dibahaskan pada Mac 2025.
“Inilah semangat reformasi yang ingin kita bina, apabila membabitkan kepentingan institusi Parlimen, perbezaan politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kerjasama.
“Kerajaan dan pembangkang mungkin berbeza pendirian dalam dasar dan politik, tetapi kedua-duanya mempunyai tanggungjawab bersama untuk mempertahankan kewibawaan institusi Parlimen,” katanya pada Sesi Penerangan Menteri di Dewan Rakyat lapor BH pada Khamis.
Semalam, Dewan Rakyat meluluskan usul pelantikan empat Ahli Parlimen, iaitu masing-masing dua wakil kerajaan dan pembangkang untuk menganggotai Majlis Perkhidmatan Parlimen.
Mereka ialah Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor), Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu).
Usul itu dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengikut Seksyen 3(2)(f) Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 berdasarkan cadangan Jawatankuasa Pemilih Dewan Rakyat.
Azalina berkata, Majlis Perkhidmatan Parlimen akan dipengerusikan bersama oleh Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, dengan keanggotaan merangkumi kepimpinan kedua-dua Dewan, wakil Ahli Parlimen, pegawai kanan Parlimen dan ahli ex-officio.
“Majlis diberikan tanggungjawab dalam urusan pelantikan anggota perkhidmatan, penentuan terma dan syarat perkhidmatan, pengawasan kewangan, pembangunan latihan serta pengurusan hal ehwal Perkhidmatan Parlimen.
“Majlis ini turut dibantu oleh Ketua Pentadbir Parlimen dan tiga jawatankuasa khusus yang menguruskan kenaikan pangkat, tatatertib serta rayuan perkhidmatan,” katanya.


