KUCHING – Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bersama Kerajaan Negeri Sarawak menerusi Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPH:G) bersama Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) hari ini memeterai MoU bagi pelaksanaan Projek Kuching Smart City and Digital Connectivity.
MCMC dalam satu kenyataan hari ini berkata projek itu bertujuan memperluas kesalinghubungan digital dan menyokong transformasi perkhidmatan bandar di kawasan Greater Kuching.
Majlis pertukaran dokumen MoU disempurnakan oleh Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Setiausaha Tetap MPHLG Datu Elizabeth Loh yang turut disaksikan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil di Dewan Undangan Negeri Sarawak, di sini.
“Kerjasama strategik ini mencerminkan komitmen bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak untuk memanfaatkan teknologi digital, data dan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan kecekapan pengurusan bandar, keselamatan awam.
“Ia juga bagi memperluas akses digital serta membuka peluang ekonomi baharu kepada rakyat dan sektor perniagaan, selaras dengan aspirasi Malaysia Digital 2030 (MD2030),” katanya.
Menurut MCMC, pelaksaan projek ini akan memberikan tumpuan awal kepada kawasan Greater Kuching yang merangkumi Dewan Bandaraya Kuching (DBKU) dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) selaras dengan aspirasi Sarawak Digital Economy Blueprint 2030.
Kenyataan itu menyebut Inisiatif ini dijangka menyokong penyampaian perkhidmatan bandar yang lebih cekap dan responsif terhadap keperluan rakyat.
“Antara skop kerjasama yang dikenal pasti meliputi pembangunan perkhidmatan bandar pintar berasaskan AI dan data, platform bandar bersepadu dan pengukuhan perkhidmatan bandar yang lebih cekap, selamat dan responsif.
“Skop ini turut merangkumi pemantauan keselamatan bandar, sokongan tindak balas kecemasan, penyediaan Wi-Fi awam, penggunaan teknologi kembar digital dan pembangunan pusat operasi rangkaian.
“Pelaksanaan projek ini juga akan mengambil kira keterangkuman, keselamatan siber, perlindungan data dan tadbir urus bertanggungjawab,” katannya.
MCMC menyatakan secara keseluruhannya, projek ini bertujuan meningkatkan kualiti hidup penduduk di Greater Kuching melalui penyampaian perkhidmatan bandar yang lebih cekap dan responsif.
“MCMC komited untuk terus memainkan peranan sebagai penggerak ekosistem komunikasi dan digital negara melalui kerjasama erat dengan Kerajaan Sarawak, pihak berkuasa tempatan dan pelbagai pihak berkepentingan bagi mempercepat pelaksanaan inisiatif digital yang menyokong pembangunan yang lebih pintar berdaya tahan dan berorientasikan rakyat,” katanya.



