KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Menteri Pengangkutan Anthony Loke kekal memegang jawatan ketika ini kerana beliau telah membuktikan prestasi kerja yang baik dalam Kabinet.
Perdana Menteri berkata, Anthony sepatutnya tidak mempedulikan desakan orang politik kerana kerajaan memerlukan pemimpin sepertinya untuk memimpin negara.
“Saya bukan nak puji beliau kerana beliau ada di sini. Kenapa orang baik macam (Anthony) Loke hendak berhenti? Yang hendak berhenti orang yang ada rasuah. Betul tak?
“Orang baik kita kena pertahan, orang ini yang pimpin negara kita. Jangan peduli orang cakap politik, biarlah.
“Di Parlimen kata tak ada apa kita buat, Belanjawan tak ada makna tetapi nak pilih menteri, pemimpin yang prihatin nasib orang nak selesaikan sehari tak boleh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi / Kereta Sewa (BKKT) di Kementerian Pengangkutan lapor Malaysia Gazette di Putrajaya pada Rabu.
Mengulas lanjut, Anwar turut mengakui beliau telah menasihati Anthony bahawa kadang-kadang terdapat kuasa bukan di bawah kerajaan.
Perdana Menteri berkata, seperti isu tahanan rumah bukan di bawah bidang kuasa beliau di mana keputusan dibuat termaktub dalam Perlembagaan.
“Suruh dia duduk dan buat kerja kerana negara perlu pimpinan yang ada prinsip dan prihatin terhadap rakyat di bawah.
“Cakap banyak, cakap pandai, maki orang ramai, yang tahu rasa nasib pesawah padi di Kedah, pemandu teksi di Johor apa nasib petani nelayan, anak sekolah beli buku bagaimana mahasiswa cukup makan tidak bagaimana gaji penjawat awam peringkat rendah cukup atau tidak?
“Ini semua kena fikir bila buat belanjawan bukan perkara mudah orang boleh cakap apa pun,” katanya.
Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP sebelum ini memutuskan untuk berhenti daripada Kabinet bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib diberi perintah tahanan rumah namun ditangguhkan oleh Anwar.
Anthony diberi tempoh sehingga Najib memulakan perintah tahanan rumah barulah pemimpin DAP berkenaan dibenarkan keluar dari Kabinet.


