CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Mulimedia (MCMC) terus memperkukuh pembangunan standard teknikal bagi menyokong perkhidmatan penting seperti komunikasi, bekalan eklektrik dan air supaya dapat beroperasi dengan lebih selamat, stabil dan berkesan.
MCMC dalam satu kenyataan berkata usaha ini penting memandangkan perkhidmatan tersebut semakin bergantung kepada teknologi digital dan sistem yang saling berhubung.
“Gangguan dalam satu sistem boleh menjejaskan perkhidmatan lain, sekaligus memberi kesan kepada kehidupan seharian rakyat,” menurut kenyataan itu.
MCMC memaklumkan mereka telah menganjurkan seminar Enabling Intelligent and Resilient Utilities through Standards di MCMC Centre of Excellence, Cyberjaya hari ini sempena Hari Standard Sedunia 2026.
“Turut diketengahkan ialah Rangka Kerja Tadbir Urus Standard Teknik MCMC (Framework for Technical Standards Governance) bagi menambah baik perancangan, penyelarasan dan pembangunan standard teknikal dalam sektor komunikasi dan multimedia, selaras dengan perkembangan teknologi serta keperluan industri,” katanya.
Dalam kenyataan itu, MCMC memaklumkan sesi berkenaan menghimpunkan wakil agensi kawal selia, badan pembangunan standard, industri, pihak berkuasa tempatan dan ahli akademik bagi membincangkan penyelerasan standard teknikal antara sektor komunikasi, tenaga, air dan pembangunan infrastruktur.
“MCMC akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan dan pihak industri bagi memastikan teknologi dan sistem yang digunakan dapat berfungsi dengan lebih baik bersama-sama, sekaligus menyokong perkhidmatan penting yang lebih selamat dan stabil untuk manfaat rakyat,” katanya.



