Sumbangan kepada PSM dan penganjuran Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 jadi antara usaha mengembangkan bakat baru serta memastikan kesinambungan sukan sepak takraw negara.
Kejayaan skuad sepak takraw kebangsaan meraih pingat emas dan perak pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bukan sahaja mengharumkan nama negara, malah membuka ruang untuk usaha melahirkan lebih ramai pemain muda yang mampu mengikut jejak langkah wira negara.
Bagi menyokong usaha itu, McDonald’s Malaysia menyerahkan sumbangan RM50,000 kepada Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sebagai bantuan kepada pembangunan sukan berkenaan, khususnya dalam membimbing bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Dato’ Haji Azmir Jaafar, kepada Presiden PSM, Datuk Wira Mohd Sumali Reduan, dalam majlis meraikan kepulangan skuad kebangsaan di McDonald’s Pandu Lalu Titiwangsa.
Penyerahan itu turut menunaikan janji syarikat sebelum pasukan negara berangkat ke temasya Sukan Asia, iaitu menyalurkan RM50,000 bagi menyokong pembangunan sepak takraw sekiranya skuad kebangsaan berjaya membawa pulang pingat emas.
Kejayaan yang dinanti selama 36 tahun akhirnya menjadi kenyataan apabila skuad kendalian ketua jurulatih Ahmad Jais Baharun menewaskan Thailand 2-0 dalam perlawanan akhir acara regu berpasukan lelaki. Pasukan negara turut meraih pingat perak dalam acara regu lelaki.
Dato’ Haji Azmir berkata, pencapaian itu membuktikan bahawa kejayaan di pentas antarabangsa memerlukan latihan berterusan, pengorbanan dan kerjasama erat antara pemain, jurulatih, keluarga serta pihak pengurusan.
Beliau berkata, sumbangan tersebut diharap dapat membantu PSM membimbing lebih ramai pemain muda dan menyediakan peluang kepada mereka untuk mengembangkan kemampuan dalam sukan berkenaan.
“Kami berbesar hati menunaikan janji ini dan berharap sumbangan tersebut dapat membantu PSM membimbing lebih ramai bakat muda untuk melangkah lebih jauh dalam sukan sepak takraw,” katanya.
Selain bantuan kewangan kepada PSM, McDonald’s Malaysia turut memberi perhatian kepada pembangunan pemain muda menerusi penganjuran Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 dengan kerjasama Harian Metro, serta sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan PSM.
Liga itu membuka peluang kepada pemain berusia 16 tahun ke bawah untuk merasai pengalaman pertandingan di peringkat nasional, di samping menguji kemahiran, membina keyakinan dan mempelajari nilai kerja berpasukan.
Pertandingan berkenaan berlangsung menerusi tiga pusingan zon, iaitu Zon Tengah-Selatan di Negeri Sembilan, Zon Utara di Kedah dan Zon Timur di Terengganu, sebelum pasukan terbaik melangkah ke Pentas Akhir Kebangsaan pada 28 hingga 29 November ini di Akademi Sepaktakraw Malaysia, Kuala Lumpur.
Sebanyak RM60,000 diperuntukkan sebagai hadiah keseluruhan liga, manakala Klinik Sepak Takraw yang dijadualkan berlangsung pada 26 November di lokasi sama akan memberi peluang kepada peserta mempelajari teknik asas serta mencuba kemahiran permainan di gelanggang.
Usaha itu diharap dapat membantu peserta memahami permainan dengan lebih baik, selain memberi pendedahan kepada suasana latihan dan pertandingan yang mampu menyediakan mereka untuk cabaran lebih besar pada masa hadapan.
Wira negara sebagai sumber inspirasi
Kejayaan skuad kebangsaan turut dilihat sebagai peluang untuk mendekatkan pemain muda dengan atlet yang telah membuktikan kemampuan mereka di pentas antarabangsa.
McDonald’s Malaysia berharap pemain kebangsaan dapat meluangkan masa bersama peserta liga untuk berkongsi pengalaman, memberikan tunjuk ajar dan menyuntik semangat kepada generasi baharu yang bercita-cita mewakili negara.
Menurut Dato’ Haji Azmir, pengalaman serta perjalanan para pemain kebangsaan boleh menjadi pendorong kepada peserta untuk terus berusaha mencapai impian masing-masing.
Beliau berkata, kehadiran pemain berpengalaman mampu memberi gambaran lebih jelas kepada golongan muda mengenai disiplin, komitmen dan kesungguhan yang diperlukan untuk mencapai kejayaan dalam sukan.
Dalam masa sama, komitmen McDonald’s Malaysia terhadap pembangunan belia turut merangkumi bidang pendidikan dan pekerjaan menerusi Program Santun Pelajar yang menyediakan baucar Nasi Mekdi kepada mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT).
Syarikat itu juga meneruskan usaha pembangunan kemahiran dan kerjaya melalui Akademi Vokasional McDonald’s, program Akademi Dalam Industri (ADI) serta Graduate Employability Programme (GEP).
Melalui pelbagai inisiatif tersebut, McDonald’s Malaysia berusaha membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda untuk membina masa depan, sama ada dalam bidang sukan, pendidikan mahupun kerjaya.
Bagi sepak takraw, kesinambungan usaha mencungkil bakat baharu menjadi antara langkah penting untuk memastikan kejayaan skuad kebangsaan dapat diteruskan dan lebih ramai pemain muda berpeluang menyarung jersi negara pada masa hadapan.



