300 saintis turun padang ke 300 buah sekolah menerusi Program STI 100³

Oleh Zihan Zari

PUTRAJAYA – Program STI 100³ Tahun 2026 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama strategik Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) membawa 300 saintis ke 300 buah sekolah di seluruh Malaysia mulai 5 Oktober.

Ia sekali gus memperluas penglibatan teknologis dan juruteknik profesional dalam ekosistem Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

Program ini membawa kepakaran saintis, teknologis dan juruteknik terus ke sekolah bagi memberi pendedahan kepada murid tentang aplikasi Sains,Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kehidupan sebenar, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang.

“Kita juga mahu pendedahan ini mencetuskan rasa ingin tahu, membina keyakinan dan membuka minda murid terhadap peluang pengajian serta kerjaya dalam bidang STEM.

“Inilah usaha untuk membina bakat STI yang mampu mencipta, menguasai dan menerajui teknologi masa hadapan.

“Program ini diharap dapat memberi anjakan
kepada Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) untuk Malaysia menjadi sebuah negara pengeluar dan pencipta teknologi menggunakan bakat dalam negara”katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, MOSTI berkata saintis akan dipadankan dengan sekolah berdasarkan bidang kepakaran masing-masing untuk melaksanakan pelbagai aktiviti pembudayaan STI, termasuk perkongsian ilmu, interaksi bersama murid dan pendedahan kepada aplikasi STEM dalam kehidupan sebenar.

Katanya, keterlihatan para saintis di peringkat sekolah diharap dapat memberi inspirasi kepada golongan pelajar untuk menjadikan STI sebagai laluan kerjaya mereka di masa hadapan.

“Usaha ini penting untuk Malaysia mencapai status negara berteknologi tinggi dan mewujudkan ekonomi berasaskan inovasi.

“Inisiatif MOSTI ini adalah sebagai pemangkin untuk menggalakkan lebih ramai pelajar sekolah mengambil bidang STEM dalam memastikan negara mempunyai bakat dan tenaga kerja yang mencukupi untuk menyemarakkan ekosistem STI negara, ”katanya lagi.

Ujarnya, Program STI 100³ Tahun 2026 telah diluncurkan pada 18 Ogos lalu bersempena MBOT Experts Network in Technology, Innovation and Cooperative Event (ENTICE 2026) di Hilton Hotel, Kuala Lumpur.

“Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sebanyak 86,384 tawaran pekerjaan STEM melalui iklan pekerjaan dalam talian direkodkan pada suku keempat 2025, menunjukkan permintaan terhadap tenaga kerja STEM terus wujud dalam pasaran pekerjaan negara.

“Program ini turut mengukuhkan kerjasama antara MOSTI, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), MBOT, komuniti saintis dan sekolah dalam memperluas pembudayaan STI serta pendedahan kepada STEM, ”ujarnya lagi.

Tambahnya, MOSTI komited memperluas pembudayaan STI di sekolah bagi menyemai minat STEM dan membina generasi muda yang mampu mencipta, menguasai serta menerajui teknologi masa hadapan negara.

Untuk rekod, Program STI 100³ merupakan inisiatif pembudayaan STI yang dilaksanakan oleh MOSTI yang menyediakan platform kepada saintis untuk berkongsi ilmu, pengalaman dan kepakaran secara langsung bersama murid dan warga sekolah, khususnya dalam meningkatkan minat serta pendedahan kepada bidang STEM. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat