Pameran Se-Karang: Between Sky and Silence di Balai Seni Negara sehingga 31 Disember ini

Oleh Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Orang ramai dan peminat seni dijemput untuk menyaksikan Pameran Se-Karang: Between Sky and Silence karya seniman Malaysia, Low Chee Peng yang sedang berlangsung di Greyzone, Balai Seni Negara dekat sini, dari 1 Oktober sehingga 31 Disember ini.

Balai Seni Negara dalam kenyataan berkata, Pameran Se-Karang merupa­kan sebuah projek seni yang mengetengahkan karya instalasi berskala besar yang dipersembahkan secara ‘terapung’ di ruang tengah bangunan galeri.

Katanya, konsep Se-Karang memberi penekanan kepada pelbagai unsur dan lapisan yang saling terkait antara objek, hubungan antara seniman dan karya, ruang persekitaran serta pengalaman pengunjung.

Pameran ini menampilkan karya Between Sky and Silence, sebuah instalasi tapak-responsif (site-responsive installation) Chee Peng.

Dihasilkan daripada jaring keluli tahan karat, bentuk-bentuk yang digantung menyerupai gumpalan awan memenuhi ruang Greyzone dan dapat dilihat dari pelbagai aras serta sudut pandang, sekali gus mewujudkan interaksi antara karya dengan seni bina di
sekelilingnya.

Menerusi Between Sky and Silence, Chee Peng meneruskan penerokaannya terhadap tema awan, impian dan jiwa kanak-kanak (inner child).

Elemen awan mencerminkan perubahan dalam kehidupan melalui sifatnya yang sentiasa berubah bentuk, manakala figura kanak-kanak yang sedang tidur mengetengahkan unsur kesucian dan imaginasi.

Gabungan kedua-dua elemen ini menggambarkan pertemuan antara realiti dan impian serta mengangkat persoalan tentang perubahan, aspirasi dan hubungan manusia dengan perkara yang ingin dipertahankan.

Penganjuran Pameran Se-Karang merupakan sebahagian daripada usaha Balai Seni Negara dalam menyediakan platform kepada seniman untuk mengangkat karya dan idea menerusi pendekatan persembahan yang pelbagai, di samping memperluas pengalaman masyarakat dalam menghayati seni visual.

Low Chee Peng dilahirkan pada 1975 di Pulau Pinang merupa­kan pengukir dan seniman arca kontemporari Malaysia yang terkenal di peringkat antarabangsa.

Beliau mempunyai O Sculpture Studio, belajar sendiri sebagai pengukir self-taught dan berpengalaman lebih daripada 30 tahun dalam menghasilkan seni awam, arca jalanan, dan instalasi seni.

Minatnya dalam seni arca bermula sejak zaman remaja. Selepas tamat sekolah menengah, beliau memulakan latihan praktikal (apprenticeship) di sebuah syarikat pembuatan arca, yang menjadi asas penting kepada kemahiran teknikalnya yang tinggi.

Beliau memilih seni arca tiga dimensi (3D) kerana mahu mencabar keupayaan diri dalam menterjemahkan ruang dan bentuk serta dikenali sebagai artis yang sangat teliti terhadap kekemasan (finishing) karyanya. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat