Ordinary Kopitam buka cawangan kedua di TTDI, sasar 10 outlet dalam tempoh 5 tahun

Kopitiam meneruskan langkah dalam industri makanan dan minuman menerusi pembukaan cawangan kedua di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur,  dengan membawa konsep kopitiam klasik yang menggabungkan cita rasa tempatan, suasana santai dan ruang pertemuan untuk masyarakat berbilang kaum. Cawangan yang pertama Ordinary Kopitiam terletak di Bandar tun Hussein onn

Diasaskan oleh Mohd Shafiq bin Kamaruddin, 39, yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam industri makanan dan minuman, Ordinary Kopitiam dibangunkan dengan matlamat mengembalikan nostalgia kopitiam yang dekat dengan kehidupan masyarakat Malaysia, selain memperkenalkan identiti tersendiri sebagai jenama milik usahawan Muslim.

Menurut Shafiq, pemilihan konsep kopitiam dibuat kerana beliau tertarik dengan suasananya yang mesra dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat. Walaupun perniagaan kopitiam tradisional selama ini banyak dikaitkan dengan pengusaha masyarakat Cina, beliau melihat konsep itu sebagai satu peluang yang turut boleh diterokai oleh usahawan Muslim tanpa menghilangkan keunikan budaya kopitiam itu sendiri.

Baginya, kopitiam bukan sekadar tempat untuk menikmati makanan dan minuman, tetapi juga ruang untuk masyarakat berkumpul, berkenalan dan berkongsi cerita tanpa mengira kaum, usia atau kedudukan.

“Saya memang meminati konsep kopitiam kerana ia membawa suasana komuniti. Semua orang boleh datang, tidak kira muda atau tua, bangsa atau jawatan. Apabila berada di dalam kopitiam, semua orang boleh duduk bersama dan bergaul seperti biasa.

“Saya mahu membawa kembali suasana itu, terutama kenangan menikmati makanan yang kita kenal sejak kecil hingga dewasa. Pada masa sama, saya mahu berkongsi pengalaman dan apa yang saya pelajari sepanjang berada dalam industri makanan dan minuman,” katanya.

Pengalaman lebih dua dekad dalam industri berkenaan menjadi antara asas kepada usaha Shafiq membangunkan jenamanya sendiri. Sebelum ini, beliau pernah bekerja dengan pelbagai jenama makanan dan minuman, selain terlibat dalam operasi pembukaan premis serta memberikan sokongan kepada pasukan di dalam dan luar negara.

Pengalaman tersebut memberinya pendedahan tentang pengurusan operasi, penyediaan makanan dan pembangunan perniagaan sebelum mengambil keputusan untuk membina identiti jenama sendiri menerusi Ordinary Kopitiam.

Menurut Shafiq, semua pemegang saham Ordinary Kopitiam terdiri daripada individu beragama Islam. Perkara itu menjadi sebahagian daripada pendekatan yang dibawa syarikat dalam membangunkan perniagaan kopitiam yang mempunyai identiti tersendiri.

Beliau menjelaskan bahawa pemilihan rakan kongsi bukan hanya bergantung pada kemampuan menyediakan modal, tetapi turut mengambil kira kesesuaian mereka dengan prinsip dan hala tuju perniagaan.

Malah, Shafiq mendedahkan beliau pernah menolak pelabur yang berminat untuk menyertai perniagaan itu kerana tidak memenuhi syarat berkaitan sumber pendapatan harta yang ditetapkan pihaknya.

Menurutnya, pendirian itu penting bagi memastikan urusan pelaburan dan perkembangan perniagaan selari dengan prinsip yang mahu dipertahankan sejak awal penubuhan Ordinary Kopitiam.

Dalam masa sama, pihaknya sedang menjalani proses mendapatkan pensijilan halal dengan bantuan konsultan. Proses berkenaan melibatkan penyediaan dokumen dan pematuhan kepada keperluan yang ditetapkan sebelum diteruskan ke peringkat seterusnya, termasuk audit.

Shafiq berkata, pihaknya memberikan perhatian kepada sumber bahan mentah dan sos yang digunakan dalam penyediaan makanan, dengan mengutamakan pembekal yang mempunyai sumber halal. Bagaimanapun, proses mendapatkan pensijilan rasmi masih perlu diselesaikan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Menu tempatan dengan sentuhan tersendiri

Dari segi sajian, Ordinary Kopitiam mengetengahkan pelbagai hidangan yang dekat dengan selera rakyat Malaysia, termasuk Mee Kari, Signature Wok-Fried Char Kuey Teow dan Signature Nasi Lemak Ayam Goreng Whole Leg.

Pilihan lain seperti Cantonese Mun Fun, Asam Laksa serta hidangan mi bersama ayam dan ladu turut melengkapkan menu restoran itu. Kepelbagaian sajian berkenaan memberi pilihan kepada pelanggan yang ingin menikmati makanan tempatan dalam suasana kopitiam yang santai.

Bagi hidangan ringan, pelanggan boleh mencuba Signature Roti Bakar Butter & Kaya, Donut Perancis dan Signature Gyoza Chilli Oil. Menu pencuci mulut pula merangkumi ABC bersama aiskrim serta tau fu fa dengan gula Melaka tulen.

Pilihan minuman seperti Signature Kopi “OK”, teh tarik, Kopi ‘O’, Teh ‘O’ dan Iced Peach Tea turut disediakan bagi melengkapkan pengalaman menjamu selera.

Shafiq berkata, pemilihan menu dilakukan dengan mengambil kira cita rasa tempatan yang sudah dikenali ramai, sambil memberikan sentuhan tersendiri untuk membentuk identiti Ordinary Kopitiam. Pihaknya juga memberi perhatian kepada kualiti dan kesegaran makanan melalui penyediaan hidangan setiap hari.

Menurutnya, usaha mengekalkan mutu makanan dan perkhidmatan merupakan antara perkara penting dalam membina keyakinan pelanggan terhadap jenama itu, terutama ketika perniagaan sedang berkembang.

Pembukaan cawangan kedua di TTDI melibatkan anggaran pelaburan hampir RM1.5 juta, termasuk kos pengubahsuaian struktur premis, sewaan, persediaan operasi dan keperluan tenaga kerja.

Menurut Shafiq, persediaan tersebut dibuat bagi memastikan premis mempunyai kemudahan dan tenaga kerja yang mencukupi untuk menyokong operasi harian serta memberikan perkhidmatan yang baik kepada pelanggan.

Setiap cawangan Ordinary Kopitiam akan menyediakan seramai 15 tenaga kerja, termasuk kakitangan pengurusan, bagi memastikan urusan operasi berjalan lancar. Penyusunan tenaga kerja itu merangkumi keperluan pengurusan dan operasi premis supaya aspek penyediaan makanan, perkhidmatan pelanggan serta pengendalian harian dapat dilaksanakan dengan teratur.

Dengan perancangan itu, pembukaan cawangan baru bukan sekadar menambah lokasi perniagaan, malah turut membuka peluang pekerjaan dalam sektor makanan dan minuman.

Bagi perancangan jangka panjang, Ordinary Kopitiam menyasarkan pembukaan antara lima hingga 10 cawangan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang. Selepas mempunyai asas operasi yang lebih kukuh, syarikat itu turut berhasrat meneroka peluang untuk membawa jenama berkenaan ke pasaran luar negara.

Shafiq berkata, pengembangan akan dilakukan secara berperingkat dengan mengambil kira kemampuan syarikat, keperluan operasi dan keupayaan mengekalkan kualiti di setiap cawangan. Pihaknya juga sedang meneliti pelbagai strategi pemasaran dan perancangan perniagaan untuk memperkenalkan Ordinary Kopitiam kepada lebih ramai pelanggan.

Beliau menegaskan bahawa keutamaan ketika ini adalah memastikan setiap cawangan dapat mengekalkan standard makanan, mutu perkhidmatan dan identiti jenama sebelum bergerak ke fasa pengembangan seterusnya.

Bagi Shafiq, kejayaan Ordinary Kopitiam bukan hanya diukur berdasarkan jumlah cawangan yang berjaya dibuka, tetapi juga melalui kepercayaan pelanggan serta kemampuan syarikat mempertahankan prinsip yang menjadi pegangan perniagaan.

Pembukaan cawangan kedua di TTDI menjadi satu lagi langkah dalam usaha Ordinary Kopitiam memperkenalkan konsep kopitiam yang dekat dengan budaya masyarakat Malaysia, sambil membuktikan bahawa usahawan Muslim juga mempunyai ruang untuk berkembang dalam industri yang kompetitif.

Dengan gabungan menu tempatan, suasana mesra masyarakat dan perancangan pengembangan secara berperingkat, Ordinary Kopitiam berharap dapat membina jenama yang bukan sahaja dikenali kerana makanannya, tetapi juga sebagai tempat masyarakat berkumpul dan menghidupkan kembali kenangan menikmati hidangan bersama.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat