KUALA LUMPUR — Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) menggesa kerajaan mewujudkan Dana Khas Kandungan Negara Bangsa bagi menjadikan industri kreatif sebagai instrumen strategik membina nilai, perpaduan dan identiti nasional.
Presidennya, Dato’ Jurey Latiff Rosli berkata, peranan filem, drama televisyen, dokumentari, animasi dan muzik perlu dilihat melangkaui hiburan kerana kandungan berkenaan mampu membentuk pemikiran, mempengaruhi tingkah laku serta menyemai patriotisme.
Menurutnya, walaupun perhatian kepada industri kreatif dalam Belanjawan 2027 dihargai, pembangunan sektor itu memerlukan pendekatan berterusan yang turut menjamin kebajikan penggiatnya.
“PMX sepatutnya mewujudkan Dana Khas Kandungan Negara Bangsa sebagai satu agenda strategik nasional yang berterusan.
“Kita perlukan karya yang membina akhlak, menyuburkan perpaduan, mendidik generasi muda menghormati perbezaan dan menanam kecintaan kepada Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jurey menegaskan, dana yang dicadangkannya bukan bertujuan menghasilkan propaganda politik atau karya yang mengampu kerajaan dan memuja pemimpin.
Sebaliknya, beliau mahu dana itu menyokong kandungan yang membina manusia, membentuk pemikiran kritis serta mengangkat maruah bangsa.
“Jika kerajaan benar-benar serius mahu membina Malaysia MADANI, pembangunan nilai dan peradaban tidak boleh tinggal sebagai slogan,” katanya.
Dalam kenyataan sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, atas peruntukan lebih RM130 juta bagi sektor perfileman, muzik dan kandungan kreatif yang disebutnya sebagai antara pengumuman Belanjawan 2027.
Beliau turut mengalu-alukan pengumuman pengecualian sepenuhnya duti hiburan bagi tiket filem dan persembahan teater tempatan di Wilayah Persekutuan mulai 2027 serta insentif tambahan untuk karya berunsur budaya dan kenegaraan.
Bagaimanapun, katanya, insentif kewangan semata-mata belum mencukupi untuk menangani kebimbangan terhadap penghakisan nilai, adab dan semangat negara bangsa.
Beliau berpandangan, budaya penghinaan, fitnah dan permusuhan akibat perbezaan politik semakin membimbangkan, khususnya di media sosial.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa rakyat tetap berhak mengkritik kerajaan dan mempersoalkan kesilapan pemimpin.
“Saya tidak mengatakan rakyat tidak boleh mengkritik kerajaan. Pemimpin yang gagal mesti ditegur. Kerajaan yang melakukan kesilapan wajib dipersoalkan.
“Tetapi kebebasan bersuara bukan lesen untuk menghina, memfitnah dan membuang segala adab,” katanya.
Mengulas kebajikan penggiat industri, Jurey mempersoalkan jaminan masa depan anak seni yang menyumbang kepada ekonomi dan peluang pekerjaan, tetapi sebahagiannya masih bergantung pada sumbangan masyarakat apabila sakit, uzur atau tidak lagi mampu bekerja.
Beliau membangkitkan keperluan Tabung Kebajikan Anak Seni Negara, skim pencen atau persaraan yang sesuai dengan corak pekerjaan industri kreatif serta perlindungan kesihatan dan jaminan sosial yang menyeluruh.
Menurutnya, PTVM sendiri telah mengemukakan cadangan sistem kebajikan dan persaraan anak seni kepada kerajaan.
“Jangan hanya meraikan anak seni ketika mereka popular, kemudian membiarkan mereka hidup dalam kesusahan apabila usia semakin lanjut,” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan mengiktiraf pekerjaan seni sebagai profesion yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi, kebudayaan dan pembentukan identiti negara.
Katanya, syarikat penerbitan tempatan memerlukan dasar yang kukuh, peluang perniagaan yang adil, dana pembangunan mencukupi serta ekosistem yang membolehkan mereka terus bertahan dan berkembang.
Sementara itu, Jurey menggesa Kerajaan Negeri Selangor turut mengecualikan duti hiburan bagi filem dan teater tempatan.
Beliau merujuk jawapan rasmi Dewan Negeri Selangor pada 2016 yang, menurutnya, merekodkan kutipan duti hiburan pawagam sebanyak RM40.22 juta pada 2013, RM44.64 juta pada 2014 dan RM47.31 juta pada 2015, berjumlah lebih RM132 juta.
Beliau mengakui angka tersebut bukan kutipan semasa dan tidak membuktikan kedudukan Selangor berbanding semua negeri, namun menyifatkannya sebagai gambaran kepentingan pasaran negeri itu kepada ekosistem perfileman negara.
“Saya menggesa Kerajaan Negeri Selangor menyahut seruan Perdana Menteri untuk turut mengecualikan duti hiburan bagi filem dan teater tempatan.
“Jangan hanya menikmati hasil daripada industri, tetapi apabila tiba masanya untuk membantu industri, kita berkira,” katanya.
Jurey menegaskan, belanjawan perlu menentukan arah masa depan negara, termasuk pembangunan nilai dan peradaban, selain mengagihkan peruntukan.
“PMX, jangan hanya membina ekonomi negara. Binalah juga jiwa bangsanya,” katanya.
re



