KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan Putrajaya memberikan kebenaran kepada Peguam Negara dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Badan Peguam meneruskan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan pendakwaan menghentikan 47 pertuduhan jenayah berkait Yayasan Akal Budi.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Seri Hashim Hamzah sebulat suara membenarkan dua permohonan itu selepas mendapati kes itu membangkitkan persoalan perlembagaan baharu yang mempunyai kepentingan awam dan memerlukan penjelasan serta keputusan muktamad Mahkamah Persekutuan.
Hashim berkata, isu utama yang perlu diputuskan adalah berkaitan ambang kebenaran bagi semakan kehakiman apabila kuasa Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dicabar.
Hashim berkata, ambang berkenaan perlu diterapkan dengan disiplin, berhati-hati dan penuh batasan apabila ia membabitkan kuasa Peguam Negara di bawah Perkara 145(3).
“Kami berpandangan bahawa kes ini membangkitkan persoalan perlembagaan baharu yang mempunyai kepentingan awam yang memerlukan penjelasan dan keputusan muktamad mahkamah ini.
“Oleh itu, pemohon (Peguam Negara dan Zahid) sudah memenuhi ambang bagi permohonan kebenaran di bawah Seksyen 96A dan 96B Akta Mahkamah Kehakiman,” katanya yang bersidang bersama Hakim Datuk Nordin Hassan dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, memetik BH di Putrajaya pada Khamis.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Badan Peguam untuk memulakan semakan kehakiman mencabar keputusan Peguam Negara menghentikan perbicaraan kes Yayasan Akal Budi membabitkan Zahid.
Pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan Ahmad Zahid pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) bagi kesemua pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan Peguam Negara mahu memberhentikan prosiding terhadapnya.
Bagaimanapun, Badan Peguam kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara berkenaan.



