Majalah 3 singkap sisi peribadi Tun Dr Siti Hasmah menerusi kenangan insan terdekat 5 Oktober ini

KUALA LUMPUR – Sisi peribadi Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, termasuk keprihatinan beliau terhadap masyarakat dan kebajikan atlet negara, menjadi tumpuan dokumentari khas Majalah 3 yang bakal disiarkan di TV3 pada 5 Oktober ini.

Dokumentari sejam berjudul ‘Tun Dr Siti Hasmah’ itu menghimpunkan perkongsian individu yang mengenali Allahyarhamah secara dekat, sekali gus membawa penonton menyelami kehidupan beliau sebagai seorang isteri, tokoh perubatan, sahabat dan mentor.

Menurut kenyataan TV3, dokumentari berkenaan diterbitkan sebagai penghormatan kepada Allahyarhamah yang meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga, masyarakat dan negara, selain dikenang sebagai seorang “ibu” yang dekat di hati rakyat.

Antara individu yang berkongsi kenangan ialah isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek; penerbit dan pengarah, Erma Fatima; serta Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Dr Zamri Radzi.

Menerusi dokumentari itu, Wan Azizah berkongsi mengenai perjalanan Allahyarhamah sebagai antara perintis dalam bidang perubatan, manakala Rashid mengimbau perhatian beliau terhadap kebajikan atlet negara.

Erma pula membawa penonton mengenali sisi peribadi Allahyarhamah bersama suaminya, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menerusi beberapa kisah kehidupan pasangan berkenaan.

Dokumentari itu turut mengetengahkan keperibadian Allahyarhamah yang merendah diri serta melayan masyarakat tanpa mengira kedudukan atau latar belakang.

Antaranya melalui perkongsian Siti Masitah Awang Kechik, yang menyediakan kuih-muih tradisional kegemaran Allahyarhamah.

Pengalaman Siti Masitah memperlihatkan bagaimana Allahyarhamah menghargai insan di sekelilingnya dan melayan mereka seperti keluarga sendiri.

Himpunan kenangan daripada dunia perubatan, seni, sukan dan kehidupan keluarga itu memberi ruang kepada penonton mengenali sisi Tun Dr Siti Hasmah yang mungkin kurang diketahui umum.

Menurut TV3, dokumentari berkenaan bukan sekadar merakamkan perjalanan hidup seorang tokoh, malah mengangkat kisah seorang wanita yang memperlihatkan kekuatan melalui keteguhan prinsip, ilmu, kasih sayang dan pengorbanan sepanjang hayat.

Majalah 3 Istimewa: Tun Dr Siti Hasmah akan disiarkan secara eksklusif pada 5 Oktober 2026, pukul 9 malam di TV3 dan boleh distrim menerusi Tonton.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat