BN Melaka terbuka tukar kerusi dengan rakan strategik namun tetap kekal tanding 21 kerusi menang PRN lepas – Ab Rauf

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) Melaka sedia membuka ruang rundingan bagi pertukaran kerusi atau cross-swap dengan parti yang bakal menjadi rakan strategiknya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan.

Pengerusinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bagaimanapun menegaskan, BN tetap mahu mengekalkan jumlah 21 kerusi seperti yang dimenanginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021.

Ketua Menteri Melaka itu berkata, jumlah 21 kerusi masih kekal sebagai garis sempadan rundingan yang perlu dipatuhi parti atau gabungan yang berminat.

“Itu (21 kerusi) adalah satu garis sempadan yang telah saya suarakan, maka kita sedang berunding untuk mempertahankan 21 kerusi.

“….ada beberapa kerusi yang sedang kita rundingkan untuk dipanggil cross-swap tapi tetap 21 bak kata orang kampung dulu, empat cupak tetap satu gantang,” katanya pada sidang media di Seri Negeri, lapor MalaysiaGazette di Melaka pada Rabu.

Menurut beliau, rundingan itu membabitkan usaha mendapatkan satu pasukan yang lebih kuat dengan menilai sumbangan setiap parti yang mahu bekerjasama dengan BN.

“Setakat hari ini memang kita lihat dalam media-media sosial ramai yang menyuarakan untuk bergabung dengan kita dan kita akan aturkan perundingan ini berperingkat-peringkat.

“Insya-Allah kita akan umumkan sebelum hari penamaan calon siapakah rakan strategik kita yang terbaik untuk kita menjalankan urusan pilihan raya ini nanti,” katanya.

Ab Rauf berkata, keputusan mengenai rakan strategik itu bagaimanapun bukan terletak pada beliau seorang, sebaliknya akan dipersembahkan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno untuk mendapatkan mandat.

“Semua nama calon yang dikemukakan ketua-ketua bahagian juga sudah diterima dan kini sedang melalui proses kajian serta analisis sebelum keputusan dibuat.

“Nama semua dah diserah kepada saya. Cuma penyerahan itu belum lagi dibuatkan kajian dan analisis dari semua sudut pandangan untuk saya membuat penilaian,” katanya.

PRN Melaka Ke-16 akan menyaksikan 28 kerusi DUN dipertandingkan, dengan BN sebelum ini memenangi 21 kerusi pada PRN 2021, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan hari penamaan calon pada 31 Oktober, manakala pengundian awal pada 10 November dan hari mengundi pada 14 November.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat