KUALA LUMPUR – Peraturan berkaitan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV), gelang elektronik serta kategori pelawat yang dibenarkan bagi tahanan rumah masih belum dimuktamadkan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketika ini tiada perintah tahanan rumah dikeluarkan di bawah undang-undang khusus kerana cadangan perundangan itu masih belum dimuktamadkan dan dalam proses semakan undang-undang oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Kerajaan pada dasarnya bersetuju mewujudkan suatu kerangka perundangan bagi membolehkan tahanan reman yang memenuhi syarat-syarat tertentu dipertimbangkan untuk menjalani tahanan di rumah.
“Ia sebagai alternatif kepada penempatan di penjara sementara menunggu perbicaraan. Bagaimanapun, perkara berkaitan kewajipan pemasangan CCTV, pemakaian gelang kaki elektronik atau peranti pemantauan khusus, serta kategori pelawat yang dibenarkan, masih belum dapat dimuktamadkan pada masa ini.
“Ia kerana aspek itu tertakluk kepada peruntukan undang-undang, peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang sedang dimuktamadkan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Saifuddin Nasution menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang ingin tahu mengenai bilangan perintah tahanan rumah yang pernah dikeluarkan, sama ada seseorang yang dikenakan tahanan rumah diwajibkan pemantauan CCTV, memakai alat pemantauan elektronik seperti gelang kaki elektronik atau peranti khas lain serta jenis pelawat yang dibenarkan melawat individu berkenaan.
Pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib Razak, yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Bagaimanapun, ia tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta yang dikenakan berikutan sabitan dalam kes SRC International.
Sementara itu, Saifuddin Nasution menjelaskan, pengampunan bersyarat yang diberikan Yang di-Pertuan Agong berbeza dengan perintah tahanan rumah dicadangkan di bawah Rang Undang-Undang Tahanan Rumah.
“Pengampunan bersyarat adalah prerogatif pengampunan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan pelaksanaannya adalah tertakluk kepada keputusan serta syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa pengampunan yang berkenaan.
“Oleh itu, sesuatu penempatan di rumah yang dibuat berikutan keputusan pengampunan bersyarat tidak boleh disamakan secara langsung dengan perintah tahanan rumah yang dikeluarkan oleh mahkamah di bawah suatu akta khusus,” katanya.
Bagi pengampunan bersyarat, katanya, sebarang syarat berkaitan kawalan, pemantauan pergerakan, lawatan atau perkara lain tertakluk kepada keputusan dan syarat yang ditetapkan, selain prosedur pelaksanaan yang terpakai.
Katanya, sebagai contoh, jika seseorang banduan dikehendaki berada di kediaman di bawah pengampunan bersyarat, perkara seperti lawatan, kawalan dan pemantauan pergerakan perlu diperincikan melalui SOP yang berkaitan.



