Oleh Zihan Zari
KUANTAN – Kontinjen Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) melakar kejayaan membanggakan apabila muncul naib johan dalam pertandingan akhir Pertandingan Debat dan Pidato Bahasa Melayu Piala Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) 2026 yang telah berlangsung di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), dekat sini baru-baru ini.
Pertandingan yang berprestij ini bermula pada 18-21 September itu menyaksikan Pasukan Debat A POLIMAS berjaya menembus pentas akhir sebagai finalist dan meletakkan institusi itu di ranking ke-2 daripada 24 pasukan keseluruhan.
Kecemerlangan ini diserikan lagi apabila dua ahli pasukan tersebut, Muhammad Nur Syahmin Mohamad Sahrizan dan Kahyeesah Hayrul, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pendebat Terbaik.
Turut menganggotai pasukan itu, Muhammad Haikal Rahimi Mohd Fauzi dan Muhammad Azrie Naufal Azahari.
Langkah kanan POLIMAS tidak terhenti di situ, apabila Pasukan Debat B turut mempamerkan aksi bertenaga dan berjaya meraih tempat ketiga bersama (Semi Finalist).
Skuad ini mengukuhkan dominasi POLIMAS dengan menduduki Ranking ke-8 daripada 24 keseluruhan, selain turut membawa pulang dua lagi Anugerah Pendebat Terbaik menerusi Muhammad Taufiq Iskandar Zulkarnain dan Muhammad Faris Fahmi Ahmad Fauzi. Pasukan ini turut diperkuatkan oleh Munirah Sahamdin dan Haakas Rao.
Dalam kategori Pidato pula, wakil tunggal POLIMAS, Nurul Halimaton Saadiah Bukhri, turut membuktikan kehebatan pengucapan awam institusi apabila berjaya mara ke pentas akhir sebagai finalis dan meraih hadiah saguhati tempat keempat, sekali gus menduduki Ranking ke-2 daripada keseluruhan 26 peserta.
Secara keseluruhannya, POLIMAS menghantar seramai sembilan orang pelajar untuk menyertai pertandingan ini. Kesemua peserta dibimbing dan dilatih secara rapi oleh dua orang pensyarah pengiring dari Jabatan Pengajian Am (JPA), iaitu Ivanatasha Abdul Majid dan Nurzawanah Rohaizat.
Muhammad Nur Syahmin melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga atas pengiktirafan berganda yang diterima oleh kontinjen POLIMAS pada edisi kali ini.
“Anugerah dan kejayaan ini bukan milik individu semata-mata, sebaliknya merupakan hasil kerja keras, keserasian dan disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh seluruh ahli pasukan. Pertandingan debat ini menguji ketajaman minda, kematangan emosi dan keupayaan kami untuk beraksi di pentas.
“Kami amat berbangga kerana berjaya menterjemahkan strategi dan usaha sepanjang latihan kepada kejayaan yang bermakna buat POLIMAS,” katanya yang mewakili barisan pemenang.
Mengulas mengenai impak positif persediaan pasukan, Ivanatasha menzahirkan rasa bangga terhadap perkembangan serta komitmen luar biasa yang ditunjukkan oleh kesemua sembilan orang pelajar sepanjang tempoh latihan intensif.
“Mereka telah mengorbankan banyak masa dan tenaga untuk mempersiapkan diri menghadapi pertandingan. Kunci utama kejayaan kali ini ialah sokongan padu antara ahli pasukan, kesediaan mereka menerima teguran serta semangat juang yang tidak pernah luntur walaupun berdepan persaingan sengit daripada institusi-institusi lain.
“Komitmen yang ditunjukkan oleh mereka dalam pertandingan debat dan pidato amat membanggakan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Pengarah POLIMAS, Wan Zulkifly Wan Zakaria merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan penghargaan kepada seluruh kontinjen atas kejayaan mengharumkan nama serta mengangkat imej institusi di peringkat kebangsaan.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua pelajar serta pensyarah pembimbing yang terlibat,”katanya.
Katanya lagi, pencapaian ini bukan sahaja membuktikan keupayaan pelajar POLIMAS dalam bidang akademik, malah turut menyerlahkan penguasaan kemahiran insaniah (soft skills), pemikiran kritis dan keyakinan berkomunikasi yang tinggi.
“Anda semua merupakan duta POLIMAS yang telah mengharumkan nama institusi di persada kebangsaan serta menjadi inspirasi kepada seluruh warga politeknik,” tambahnya. – SUARA.TV


