KUALA LUMPUR – Menteri Besar adalah jambatan antara istana , perkhidmatan awan dengan kerajaan.
Jangan sampai kerana jambatan itu gagal menghubungkan dua pihak, rakyat pula terpaksa menanggung akibatnya, kata Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar.
Menurut beliau, Menteri Besar sepatutnya menjadi jambatan, bukan titik pertembungan.
“Dalam sistem Raja Berperlembagaan, Menteri Besar mempunyai kedudukan penting untuk memastikan hubungan antara institusi raja, perkhidmatan awam dan kerajaan negeri berjalan dengan baik.
“Perkembangan terbaru di Negeri Sembilan amat membimbangkan. Saya melihat apa yang berlaku bukan lagi sekadar perbezaan pandangan antara kerajaan negeri dengan institusi raja.
“Kita sedang berdepan krisis kepercayaan yang semakin mendalam antara institusi dan pemegang amanah pentadbiran negeri yang diterajui oleh Umno-BN dan disertai Pas-BN.
“Apabila istana menyatakan pelantikan semua Exco telah dibatalkan kerana memungkiri sumpah jawatan, tetapi Menteri Besar pula menyatakan semua Exco tersebut masih sah dan akan terus menjalankan tugas, maka rakyat berhak bertanya: bagaimana sebuah kerajaan hendak berjalan dengan baik apabila dua pihak yang sepatutnya berada dalam satu sistem pentadbiran sudah memberikan pendirian yang bertentangan? soal beliau.
Menurut Mahfuz, kini babak baru krisis antara kepimpinan kerajaan Umno-BN dan Pas-PN yang berperang dengan institusi perkhidmatan awam apabila menggantung Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Penasihat Undang-undang.
“Persoalan sekarang bukan siapa lebih berkuasa, tetapi siapa yang boleh dipercayai. Kerajaan boleh mempunyai perbezaan pandangan Tetapi kerajaan tidak boleh kehilangan kepercayaan.
“Jika kepercayaan antara institusi sudah terhakis, setiap keputusan kerajaan akan dipersoalkan dan setiap arahan akan menimbulkan keraguan.
“Pegawai yang berkata ‘tidak’ apabila undang-undang berkata ‘tidak’, bukannya memusuhi kerajaan. Mereka sedang menyelamatkan kerajaan daripada tersilap.
Bila kepercayaan runtuh, kerajaan tidak boleh berjalan dengan baik,” ujar Mahfuz.
Sebab itu katanya, persoalan yang perlu dijawab bukan sekadar siapa mempunyai kuasa.
“Persoalannya – adakah Menteri Besar masih mampu menjadi jambatan yang menghubungkan istana dengan kerajaan negeri apabila hubungan kepercayaan itu sudah begitu terhakis?
“Jambatan dibina untuk menghubungkan dua tebing. Kalau jambatan itu sendiri sudah di bakar, jangan pura-pura kata sungai masih boleh diseberangi seperti biasa.”
“Kalau jambatan sudah retak, baiki. Jangan bakar jambatan,” katanya.
Mahfuz menegaskan, rakyat tidak boleh menjadi mangsa krisis kuasa.
Kata beliau, rakyat Negeri Sembilan tidak memilih kerajaan supaya mereka melihat pesta pertikaian kuasa setiap hari.
“Rakyat mahu ekonomi berkembang; pekerjaan bertambah; kos sara hidup ditangani; sekolah dan hospital diperkasa; pelaburan masuk; jalan dan infrastruktur diperbaiki; negeri ditadbir dengan aman dan stabil.
“Rakyat tidak memilih kerajaan untuk melihat siapa menang pertikaian. Rakyat memilih kerajaan supaya negeri mereka dapat berjalan.”
“Apabila SUK dan Penasihat Undang-Undang yang menjalankan fungsi semak dan imbang pula digantung, rakyat berhak bertanya: adakah kerajaan sedang membaiki jambatan,atau sedang membakar jambatan terakhir untuk kembali berdamai?” soal beliau.
Justeru kata Mahfuz, Menteri Besar perlu berani menilai kedudukannya sendiri dalam keadaan hubungan antara Istana dan kerajaan negeri sudah sampai ke tahap seperti hari ini.
“Saya berpandangan Menteri Besar perlu membuat muhasabah politik yang serius.
“Soalannya bukan semata mata sama ada beliau masih mempunyai kuasa secara perundangan.
“Soalannya ialah adakah beliau masih mempunyai ruang kepercayaan yang mencukupi untuk menjadi jambatan antara Istana dengan kerajaan negeri?
“Jika beliau merasakan masih mampu memulihkan hubungan tersebut, maka beliau perlu segera membina semula jambatan yang sudah dibakar.
“Tetapi jika kepercayaan sudah terlalu terhakis sehingga hubungan antara kedua-dua institusi tidak lagi dapat dipulihkan di bawah kepimpinannya, maka demi kepentingan Negeri Sembilan,beliau wajar mempertimbangkan pengunduran diri.
“Itu bukan soal kalah atau menang. Itu soal meletakkan kepentingan negeri lebih tinggi daripada kedudukan individu.
“Kerana akhirnya jawatan boleh dipertahankan dengan kuasa. Tetapi kerajaan hanya boleh berjalan dengan kepercayaan.
“Negeri Sembilan tidak kekurangan kuasa. Negeri Sembilan sedang memerlukan semula kepercayaan,” katanya.



