KUALA LUMPUR – Anthony Loke disifatkan sebagai Menteri Pengangkutan paling berkesan yang telah melakukan paling banyak untuk Pulau Pinang berbanding barisan Menteri Pengangkutan daripada MCA sebelum ini.
Menurut Penasihat DAP Lim Guan Eng, Anthony Loke dalam kapasiti beliau sebagai Menteri Pengangkutan, bertanggungjawab mendapatkan kelulusan Kerajaan Persekutuan bagi projek-projek pengangkutan di Pulau Pinang yang bernilai lebih RM21 bilion.
“Projek-projek tersebut termasuk projek Transit Aliran Ringan (LRT) bernilai RM16.8 bilion, projek pembesaran yang merangkumi RM1.55 bilion bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, RM30 juta bagi stesen-stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM), RM2.2 bilion bagi Pelabuhan Pulau Pinang dan RM500 juta bagi Swettenham Pier.
“Peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan merupakan satu kehilangan besar bagi Pulau Pinang, ujar Ahli Parlimen Bagan itu.
Menurut Guan Eng, Anthony Loke telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan bagi menunjukkan pendirian tegas parti berhubung skandal 1MDB bernilai RM52 bilion, sama ada ketika berada dalam pembangkang mahupun kerajaan, untuk memastikan mereka yang bertanggungjawab terhadap skandal kewangan terbesar dalam sejarah ini dihukum.
Katanya lagi, peletakan jawatan Setiausaha Agung DAP itu turut menonjolkan ketidaksetujuan parti secara sopan terhadap pengampunan diraja yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang membolehkan Najib menjalani baki tempoh hukuman penjara dalam bentuk tahanan di rumah selepas Najib membayar denda sebanyak RM50 juta.
“Dengan projek-projek pengangkutan bernilai RM21 bilion yang telah mendapat kelulusan di Pulau Pinang, Loke mungkin merupakan antara Menteri Pengangkutan paling berkesan yang telah melakukan paling banyak untuk Pulau Pinang berbanding barisan Menteri Pengangkutan daripada MCA sebelum ini.
“1.8 juta rakyat Pulau Pinang menghargai pengorbanan Loke yang melepaskan jawatan Menteri demi prinsip dan pastinya akan berterima kasih kepada Loke atas sumbangan besar beliau kepada Pulau Pinang,” puji Guan Eng.



