KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng terbuka mengakui bangga dengan dedikasi yang ditonjolkan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang sanggup mengorbankan jawatan Menteri Pengangkutan demi mempertahankan prinsip.
Guan Eng yang juga Penasihat DAP menegaskan, DAP uni kerana mempunyai Setiausaha Agung berprinsip seperti Anthony Loke.
“Bangga menjadi ahli DAP bersama Setiausaha Agung kita, Anthony Loke, yang bagi pihak parti sanggup mengorbankan jawatan Menteri demi mempertahankan prinsip.
“Inilah yang menjadikan DAP unik — mempunyai Setiausaha Agung yang berprinsip, berintegriti dan mempunyai kredibiliti,” puji Guan Eng.
Terdahulu, Anthony Loke mengumumkan akan meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan, sebagai tindak balas DAP terhadap keputusan tahanan rumah kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Bagaimanapun, beliau berkata, menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri lain daripada DAP akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan.
Pengumuman itu dibuat selepas Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP mengadakan mesyuarat tergempar di ibu pejabat parti itu hari ini, dipercayai berkaitan pengampunan bersyarat Najib.
Anthony Loke yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, surat peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan akan dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.



