KUANTAN, 18 September – Lebih 7,000 hektar Hutan Simpan Kekal (HSK) Tasik Bera disyaki diteroka secara haram untuk tanaman komersial seperti kelapa sawit dan getah.
Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Saifullah Muhammad Ali berkata, kegiatan itu dikesan menerusi operasi penguatkuasaan bersepadu yang dijalankan di kawasan berkenaan sejak 14 September lalu.
Menurut laporan Bernama, operasi itu melibatkan 160 pegawai dan anggota daripada UPNP, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang serta Pejabat Daerah dan Tanah Bera. Pasukan turut mendapat bantuan keselamatan daripada polis daerah Bera dan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am.
Saifullah berkata, pihaknya juga mengesyaki sindiket dari luar Pahang mempergunakan komuniti Orang Asli untuk meneroka kawasan hutan yang luas dengan berselindung di sebalik tuntutan tanah adat dan kawasan rayau.
Katanya, di sesetengah kawasan hanya terdapat kira-kira enam rumah Orang Asli, tetapi penerokaan tanah yang dikesan mencecah 404.68 hektar.
Sementara itu, pada 15 September lalu, polis menahan lima individu yang disyaki menghalang pegawai penguat kuasa ketika operasi di Hutan Simpan Konservasi Tasik Bera.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir dilaporkan berkata, suspek terdiri daripada seorang lelaki dan empat wanita berusia lingkungan 30-an hingga 60-an. Mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, sekumpulan individu didapati memasang penghadang dan melakukan provokasi terhadap pegawai yang menjalankan tugas ketika UPNP bersama beberapa agensi lain melaksanakan operasi di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.


