KUALA LUMPUR- Datuk Seri Anwar Ibrahim, Khairy Jamaluddin, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Datuk Seri Rafizi Ramli muncul sebagai lima tokoh paling menonjol yang berpotensi menjadi Perdana Menteri.
Dapatan itu diperoleh berdasarkan kajian nasional terbaharu yang dijalankan Vodus Research membabitkan 1,482 rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas di seluruh negara dari 18 Ogos hingga 1 September lalu.
Pengasas Vodus Research Dr Kelvin Goh berkata, Kajian Calon Perdana Menteri Malaysia 2026 mendapati Anwar mempunyai kedudukan keseluruhan paling kukuh sebagai calon yang mencatat tahap penerimaan awam tertinggi sebanyak 46 peratus, sokongan pilihan pertama tertinggi sebanyak 34 peratus dan skor penerimaan bersih tertinggi, iaitu +19 mata peratusan.
“Anwar adalah tokoh paling dikenali secara meluas, dengan tahap pengenalan sebanyak 93 peratus dalam kalangan responden yang mengetahui calon-calon yang dinilai.
“Sokongan terhadapnya sangat kukuh di Malaysia Timur apabila 41 peratus responden di wilayah itu memilihnya sebagai calon utama berbanding 28 peratus di Semenanjung,” katanya dalam kenyataan memetik laporan BH pada Khamis.
Beliau berkata, sokongan lebih kukuh terhadap Anwar itu mungkin sebahagiannya mencerminkan tumpuan lebih besar pentadbirannya terhadap Sabah dan Sarawak.
“Ia termasuk kemajuan dalam perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), hak Sabah terhadap hasil negeri dan penguasaan lebih besar Sarawak terhadap sumbernya.
“Langkah ini memastikan penyampaian Kerajaan Persekutuan, hak negeri dan keadilan fiskal terus mendapat perhatian utama di wilayah berkenaan, sekali gus mungkin memperkukuh persepsi terhadap kepemimpinan Anwar di sana,” katanya.
Menurutnya, Khairy muncul sebagai calon alternatif terkuat dari segi imej peribadi apabila merekodkan skor tanggapan positif bersih tertinggi, iaitu +51 mata peratusan.
“Sebanyak 63 peratus responden yang mengenalinya memberikan penilaian positif, dengan ciri kepemimpinan yang kuat dan berkeupayaan, visi negara yang jelas serta sifat boleh dipercayai antara alasan utama dinyatakan.
“Skor penerimaannya sebanyak 32 peratus dan kedudukan penerimaan bersih +15 mata meletakkannya di tempat kedua berdasarkan ukuran itu, meskipun sokongan sebagai pilihan pertama terhadapnya secara perbandingan masih lebih rendah,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Besar Johor, Onn Hafiz mencatatkan skor penerimaan bersih positif sebanyak +6 mata, selain memperoleh 58 peratus penilaian positif.
“Responden yang mempunyai pandangan positif terhadapnya paling kerap menyebut kepemimpinan yang kuat, sifat boleh dipercayai serta keupayaan mengembangkan ekonomi dan mewujudkan peluang.
“Tahap pengenalan Onn Hafiz di peringkat nasional pula berada pada 42 peratus, menunjukkan masih terdapat ruang untuk profilnya berkembang melangkaui kawasan yang ketika ini sudah mengenalinya,” katanya.
Selain itu, kajian itu mendapati Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri mencatatkan skor penilaian positif kedua tertinggi dalam kalangan calon yang dikaji, iaitu 62 peratus, dengan skor tanggapan positif bersih sebanyak +44 mata.
“Dalam kalangan responden yang memberikan penilaian positif terhadapnya, imej baik beliau paling kuat dikaitkan dengan kejujuran dan sifat boleh dipercayai sebanyak 74 peratus, komitmen terhadap tadbir urus baik serta usaha memerangi rasuah sebanyak 72 peratus, selain keupayaan mengembangkan ekonomi dan mewujudkan peluang sebanyak 70 peratus.
“Tahap penerimaan keseluruhan terhadapnya ialah 13 peratus, manakala tahap pengenalan di peringkat nasional sebanyak 32 peratus,” katanya.



