Kerajaan luluskan sistem akibatkan bil elektrik naik, kemudian mahu dipuji kerana sedang siasat kenapa bil anda tinggi – Rafique

KUALA LUMPUR – Kerajaan meluluskan sistem yang membolehkan bil anda meningkat, kemudian kerajaan yang sama mahu dipuji kerana kononnya sedang menyiasat kenapa bil anda menjadi tinggi.

Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid mendakwa, pendek kata, “dia ibarat orang yang meluluskan harga itu, dialah yang memegang mancis sambil berpura-pura cuba memadam api”.

“Wah, bukan main hebat sungguh lakonan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kali ini yang menyayat hati untuk tatapan kita semua.

“Sekali lagi tirai dibuka. Kita lihat Perdana Menteri seolah-olah turut bersedih bersama rakyat kerana bil elektrik yang makin membebankan. Katanya dia terkejut. Katanya dia sangat prihatin.

“Terus dipanggil “mesyuarat khas tergempar” dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Suruhanjaya Tenaga. Arahan dikeluarkan. Tindakan segera diminta. Kononnya rakyat mesti diberi kelegaan.

“Dia salahkan cuaca panas dan jerebu pula asbab bil elektrik anda mencanak naik. Menarik sungguh persembahannya. Sampai rasa macam nak hulurkan tisu.

“Tapi jangan keluarkan sapu tangan dulu. Kalau kita tengok betul-betul bagaimana sistem pentadbiran negara ini berfungsi, kita akan sedar bahawa kita sebenarnya sedang dipermainkan satu ilusi oleh seorang penyulap yang cukup handal. Pelakon,” tempelak Rafique.

Menurut beliau, naratif yang Kerajaan Madani mahu rakyat percaya sebenarnya mudah.

Jelas Rafique, TNB digambarkan sebagai gergasi korporat yang tamak. Suruhanjaya Tenaga pula pengawal selia yang tidak berhati perut.

“Kemudian muncul PMX sebagai “adiwira” yang datang pada saat akhir untuk menyelamatkan poket rakyat. Itulah ilusinya.

“Tapi mari kita tengok realiti sebenar.

“Pertama, TNB bukanlah sebuah syarikat yang bergerak sendiri dengan sesuka hati. Ia sebuah syarikat berkaitan kerajaan. Jadi persoalannya, sejauh mana kerajaan sendiri mempunyai pengaruh dalam struktur itu?

“Kedua, Suruhanjaya Tenaga juga tidak boleh sesuka hati menaikkan tarif. Di bawah Seksyen 26 Akta Bekalan Elektrik 1990, perubahan tarif memerlukan kelulusan kerajaan melalui menteri yang berkaitan.

“Ketiga, Anwar Ibrahim bukan sekadar Perdana Menteri. Beliau juga Menteri Kewangan. Jadi janganlah digambarkan seolah-olah kerajaan langsung tidak ada kaitan dengan sistem yang sedang membebankan rakyat ini.

“Caj pelarasan bahan api yang mula terasa apabila penggunaan elektrik meningkat sedikit, contohnya bila penghawa dingin terpaksa digunakan lebih lama ketika cuaca panas, bukanlah sesuatu yang muncul secara tiba-tiba. Ia sebahagian daripada struktur dasar yang diluluskan oleh pentadbiran kerajaan sendiri.

“Bahasa mudahnya begini: kerajaan meluluskan sistem yang membolehkan bil anda meningkat, kemudian kerajaan yang sama mahu dipuji kerana kononnya sedang menyiasat kenapa bil anda menjadi tinggi,” dakwanya.

Ujar Rafique, kalau skrip ini terasa macam pernah kita tengok, memang betul. Cerita yang hampir sama berlaku dalam isu subsidi petrol.

“Ingat lagi ucapan penuh simpati? Ingat lagi bagaimana kita diberitahu bahawa langkah sukar perlu dibuat demi tanggungjawab fiskal? Ingat lagi cerita Selat Hormuz?

“Dia tampil sebagai pemimpin yang kononnya berat hati, terpaksa membuat keputusan yang menyusahkan rakyat kerana keadaan pasaran dunia. Rakyat diminta faham, bersabar dan bersimpati. Tetapi apabila kemarahan rakyat semakin kuat, pendekatan terus berubah.

“Tiba-tiba watak “reformist yang bertanggungjawab” bertukar semula menjadi “pelindung rakyat”. Kemudian dikatakan sistem subsidi bersasar telah melindungi sebahagian besar pengguna domestik daripada kesan kenaikan.

“Sampai bila kita mahu menerima corak seperti ini? Pemimpin sebenar bertanggungjawab terhadap dasar yang dilaksanakan. Kalau sistem utiliti negara distruktur semula, kesannya juga perlu dipikul dan dijelaskan.

“Tetapi yang kita lihat sekarang ialah seorang Perdana Menteri yang mengkehendaki kuasa besar dalam menentukan hala tuju kewangan negara, tetapi apabila kesan dasar mula menekan isi rumah biasa akibat keputusan dia, batu kesalahan itu cuba dikalih,” katanya.

Tegas Rafique, Perdana Menteri bukan orang luar yang sedang melawan kebobrokan sistem bagi pihak anda.

“Dia adalah sistem itu.

“Jadi selepas ini, apabila anda membaca kenyataan media bahawa PMX sangat risau tentang kos sara hidup rakyat, jangan terus terpedaya dengan persembahan itu.

“Dia bukan semestinya penyelamat anda. Dasar kerajaannya sendiri mungkin sebahagian daripada sebab anda berada dalam keadaan tersebut,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat