KUALA LUMPUR – Islam melarang umat Islam menghina, mencela atau memperlekeh agama dan sembahan penganut agama lain, walaupun Islam tetap menegaskan bahawa akidah Islam adalah benar.
Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Mohd Izhar Ariff mengingatkan, Islam mengajar berlaku adil kepada orang yang berbeza agama.
“Prinsip penting isu ini ialah, tidak menghina bukan bermaksud membenarkan akidah agama lain.
“Islam tetap mempunyai pendirian tegas tentang tauhid dan menolak kesyirikan. Namun, penolakan terhadap sesuatu kepercayaan mesti dilakukan dengan ilmu, hujah dan adab, bukan penghinaan.
“Islam membezakan antara kritikan dan penghinaan. Membahaskan kesalahan sesuatu doktrin secara ilmiah adalah berbeza daripada memaki penganutnya atau menghina simbol agama mereka,” katanya.
Tegas beliau, dakwah mesti dilakukan dengan hikmah.



