KUALA LUMPUR – Kalau dahulu sekitar tahun 1950-an, beribu-ribu ekor Penyu Belimbing mendarat di Rantau Abang, Terengganu untuk bertelur dan daerah berkenaan terkenal sebagai lokasi pelancong datang untuk melihat penyu bertelur.
Selepas sembilan tahun, Penyu Belimbing kembali singgah bertelur di Terengganu semula sudah dua kali dalam sebulan.
Terbaharu ialah pada awal pagi 13 September lepas, seekor penyu spesies itu mendarat dan bertelur sebanyak 81 biji di pantai Rantau Abang manakala sebelum itu, seekor penyu mendarat di Pantai Pasir Putih, Marang pada 1 September lepas dan bertelur sebanyak 44 biji.
Di laman Facebook, Discovery Terengganu gambar-gambar telur penyu berkenaan bertelur telah dimuatnaik.
Selepas selesai bertelur, petugas Jabatan Perikanan terus memungut telur berkenaan dan dibawa ke Hatcheri Penyu Rantau Abang untuk ditanam semula dan dieramkan.
Menurut laman Facebook berkenaan, satu masa dahulu orang tua-tua di Dungun sentiasa ingat zaman pelancong ramai dan beratur di waktu tengah malam untuk tengok penyu bertelur dan zaman itu sudah berlalu.
“Sekarang, dalam bulan yang sama, dia balik. Dua kali,” katanya.
Menurut Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Pang Nyukang, spesies penyu terbesar dunia itu dipercayai mendarat di pantai tersebut pada kira-kira pukul 1.30 pagi hingga 2.30 pagi dan sarang ditemui pada pukul 4 pagi.
“Jabatan Perikanan tidak menolak kemungkinan Penyu Belimbing yang mendarat merupakan ibu penyu sama yang mendarat di Pantai Pasir Putih Marang, sebelum itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan telur penyu yang ditanam dijangka menetas dalam tempoh 50 hingga 70 hari daripada tarikh 13 September.
Dijangka ibu penyu berkenaan akan kembali ke jajaran Pantai Rantau Abang untuk bertelur buat kali ketiga dalam tempoh dua minggu lagi.
Jejak Penyu Belimbing yang mendarat itu berukuran 2.20 meter dan saiz telur pula 5 sentimeter.



