Ada ketika kita keluar berjalan tanpa sebarang rancangan untuk mengambil gambar, tetapi tiba-tiba cahaya petang jatuh cantik di celah bangunan, wajah seseorang mencuri perhatian atau pemandangan di hadapan mata terasa terlalu sayang untuk sekadar disimpan dalam ingatan. Dalam dunia fotografi hari ini, momen seperti inilah yang menjadikan sebuah kamera bukan sekadar alat untuk merakam gambar, sebaliknya menjadi teman yang membantu kita melihat sesuatu dari sudut yang berbeza.
Menyedari keperluan pengguna yang mahukan kamera berkemampuan tinggi tetapi masih mudah dibawa ke mana-mana, Canon Marketing Malaysia memperkenalkan EOS R8 Mark II, kamera mirrorless full-frame 24.2 megapiksel yang menggabungkan prestasi, mobiliti dan ciri kreatif dalam reka bentuk yang lebih moden.
Sebagai penerus kepada EOS R8, kamera ini membawa sejumlah peningkatan yang menjadikannya lebih menarik untuk digunakan oleh jurugambar, pencipta kandungan mahupun mereka yang sekadar mahu meneroka dunia fotografi dengan cara yang lebih menyeronokkan.

Dengan berat kira-kira 546 gram dan ukuran sekitar 131.4 x 90.0 x 79.7mm, EOS R8 Mark II hadir sebagai kamera full-frame mirrorless Canon paling kecil dan ringan yang dilengkapi In-Body IS. Saiznya yang kompak menjadikannya lebih mudah dimasukkan ke dalam beg ketika bercuti, keluar berjalan di bandar atau sekadar mencari sudut menarik di sekitar kawasan sendiri, tanpa memberikan rasa terbeban apabila kamera dibawa sepanjang hari.
Reka bentuknya pula mengambil inspirasi daripada bentuk pentaprism ikonik Canon, tetapi diberikan sentuhan yang lebih kontemporari dengan gabungan garisan linear dan lengkungan yang menjadikannya kelihatan moden. Dalam masa yang sama, Canon masih mengekalkan aspek ergonomik melalui cengkaman yang selesa, sementara kehadiran multi-controller atau joystick yang sebelum ini lebih sinonim dengan model EOS R kelas lebih tinggi memberikan kawalan autofokus yang lebih intuitif, terutama ketika pengguna sedang mengintai subjek melalui viewfinder.
Di sebalik tubuh yang kecil itu, EOS R8 Mark II membawa sensor CMOS full-frame 24.2 megapiksel yang mempunyai permukaan pengumpulan cahaya kira-kira 2.5 kali lebih besar berbanding sensor APS-C. Secara praktikal, kelebihan ini memberikan lebih banyak ruang untuk pengguna menghasilkan imej dengan kualiti yang baik, khususnya dalam keadaan pencahayaan rendah, selain membantu menghasilkan latar belakang yang lebih kabur dan memberikan perspektif lebih luas apabila menggunakan jarak fokus yang sama.
Bagi mereka yang gemar merakam dalam keadaan cahaya yang mencabar, sistem In-Body IS lima paksi pula membantu mengurangkan kesan gegaran tangan, manakala apabila dipadankan dengan lensa RF yang mempunyai in-lens IS, sistem Coordinated Control IS mampu memberikan penstabilan sehingga 7.5 stop di bahagian tengah dan 7.0 stop di bahagian tepi imej.
Namun, apa yang membuatkan EOS R8 Mark II lebih dekat dengan keperluan pengguna masa kini ialah bagaimana Canon memberikan lebih banyak ruang untuk bereksperimen tanpa memerlukan proses penyuntingan yang panjang selepas gambar diambil.
Kamera ini memperkenalkan dua Colour Filters baharu, iaitu “NegativeFilmtone” dan “PositiveFilmtone”, selain 14 pilihan Colour Filters sedia ada yang boleh digunakan untuk memberikan karakter tertentu kepada foto dan video. Pengguna juga boleh melaraskan kekuatan kesan tersebut mengikut citarasa sendiri, sementara Handheld Night Scene Mode bersama empat pilihan warna tambahan – “Blue”, “Black & Orange”, “Pink” dan “Green” membuka lebih banyak kemungkinan untuk menghasilkan visual yang mempunyai identiti tersendiri terus daripada kamera.
Bagi mereka yang masih mencari rentak dalam fotografi atau video, Creative AUTO pula menawarkan pendekatan yang lebih mudah melalui antaramuka intuitif yang membantu pengguna memahami dan mencuba pelbagai gaya kreatif secara berperingkat. Malah, kesan latar belakang kabur yang sering menjadi pilihan untuk menghasilkan video dengan penampilan lebih sinematik kini boleh dilakukan dengan lebih mudah melalui fungsi “Background Blur” dalam Creative Assist untuk mod video.
Bagi pencipta kandungan yang banyak bermain dengan video, EOS R8 Mark II turut menyediakan keupayaan merakam video 4K 60p yang dihasilkan daripada oversampling 6K, selain rakaman sehingga Full HD 180p bersama audio serta sokongan Canon Log 3 untuk mereka yang mahukan lebih banyak kawalan ketika proses colour grading.
Kawalan kreatif turut diperluaskan melalui fungsi Custom Picture daripada rangkaian Cinema EOS, termasuk sokongan Custom LUTs dan pelarasan parameter gambar yang lebih terperinci, sekali gus memberikan ruang kepada pengguna untuk membentuk gaya visual mereka sendiri.
Lebih menarik, kamera ini turut mengambil kira trend penciptaan kandungan secara langsung dengan menyediakan empat pilihan livestreaming berwayar dan tanpa wayar, termasuk fungsi multi-angle livestreaming menerusi aplikasi Live Switcher Mobile.
Bagi mereka yang gemar meneroka dunia VR pula, EOS R8 Mark II serasi dengan lensa VR full-frame dan APS-C serta menyokong VR Clear Mode yang direka untuk meningkatkan kontras dan kejelasan apabila kandungan dilihat menggunakan gogal VR. Dalam masa yang sama, Dual Pixel 3D Converter turut membolehkan foto ditukar kepada model 3D dengan menggunakan maklumat jarak yang diperoleh daripada sistem Dual Pixel CMOS AF.

Dari sudut prestasi, kamera ini turut membawa Dual Pixel CMOS AF II berasaskan deep learning bersama Pre-Continuous Shooting dan kelajuan rakaman berterusan sehingga 40fps menggunakan electronic shutter, membolehkan pengguna lebih bersedia untuk menangkap detik yang berlaku dalam sekelip mata. Fungsi Register People Priority pula boleh membantu memberikan keutamaan kepada individu tertentu yang telah didaftarkan, sesuatu yang berguna apabila merakam subjek tertentu dalam suasana yang dipenuhi orang ramai.
Melengkapkan pengalaman tersebut ialah beberapa aksesori baharu yang diperkenalkan bersama EOS R8 Mark II, termasuk Extension Grip EG-E2 untuk memberikan cengkaman tambahan, Tripod Grip HG-1000TBR yang hadir bersama Bluetooth Remote Controller BR-E2 serta Speedlite EL-5 (Ver. 2) dengan jarak komunikasi tanpa wayar yang ditingkatkan kepada kira-kira 50 meter.
Secara keseluruhannya, EOS R8 Mark II hadir dengan pendekatan yang cukup dekat dengan cara manusia menggunakan kamera hari ini bukan sekadar untuk mengambil gambar yang cantik, tetapi untuk mencuba sesuatu yang baharu, merakam pengalaman, menghasilkan kandungan dan pada masa yang sama menikmati proses kreatif itu sendiri.
Dengan tubuh yang ringan, sensor full-frame, sistem penstabilan imej, autofokus pantas serta pelbagai fungsi kreatif yang boleh digunakan terus daripada kamera, EOS R8 Mark II memberi lebih banyak sebab untuk seseorang membawa kamera keluar dari rumah dan melihat dunia dengan sedikit lebih teliti.
Kerana kadangkala, cerita yang paling menarik bukanlah sesuatu yang kita rancang untuk dirakam, tetapi momen yang kita temui ketika sedang meneroka.



