KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dalam hal pengampunan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mempertimbangkan pendapat bertulis Pendakwa Raya berkaitan keputusan menangguhkan pengampunan beliau dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan sebelum ini.
Dalam satu kenyataan, beliau juga telah mengemukakan pandangan beliau sebagai menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan pada mesyuarat berkenaan.
“Sebagai ahli Lembaga Pengampunan dan setelah mempertimbangkan pendapat bertulis Pendakwa Raya, saya telah mengemukakan pandangan saya dalam kapasiti saya sebagai Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan pada mesyuarat rasmi Lembaga Pengampunan yang diadakan pada Jumaat lalu, 11 September 2026,” katanya.
Hannah juga menjelaskan sudah memberikan pandangan beliau dengan jujur dan mengutamakan kepentingan negara.
“Saya telah menyatakan pandangan saya dengan jujur, dipandu oleh hati nurani saya dan dengan mengutamakan kepentingan terbaik negara.
“Selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, kuasa dan keputusan muktamad terletak pada Yang di-Pertuan Agong, termasuk keputusan untuk menangguhkan permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak,” katanya.
Hannah juga merupakan Ahli Parlimen Segambut.
Sebelum ini, dalam beberapa laporan berita, jawapan berkaitan perkara ini sudah diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa apa persoalan berhubung penangguhan keputusan itu perlu ditanyakan kepada Hannah.
Azalina menyatakan beliau bukan menteri yang bertanggungjawab terhadap Lembaga Pengampunan, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di bawah kementeriannya hanya berperanan sebagai sekretariat.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam mesyuarat berkenaan memperkenankan supaya permohonan Najib ditangguhkan ke mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.
Untuk rekod, Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya dalam kes SRC International Sdn Bhd.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kemudian mengurangkan hukuman tersebut kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta pada Februari 2024.



