Bendahari UMNO Sabah gesa jurucakap Selangor mohon maaf

KOTA KINABALU – Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menggesa pemimpin UMNO Bahagian Sepang yang menyampaikan jenaka berunsur seksual melibatkan paderi dan biarawati Katolik ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 supaya memohon maaf secara terbuka.

Salleh berkata, beliau bersetuju sepenuhnya dengan pendirian Presiden Kehormat UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau bahawa kenyataan tersebut tidak wajar dibuat.

“Apa pun niatnya, jenaka berunsur seksual yang melibatkan biarawati dan paderi Katolik adalah tidak boleh diterima.

“Agama dan tokoh agama mesti sentiasa dihormati,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Salleh, pemimpin UMNO berkenaan wajar memohon maaf secara terbuka dan ikhlas kerana perkara itu bukan berkaitan persaingan politik, sebaliknya menyentuh soal penghormatan, tanggungjawab serta batas yang tidak sepatutnya dilanggar.

Beliau menegaskan bahawa masyarakat berbilang agama di Sabah telah lama hidup bersama dalam suasana saling menghormati.

“Di Sabah, umat Islam, Kristian dan penganut agama lain telah hidup bersama dengan saling menghormati sejak sekian lama.

“Semangat toleransi dan keharmonian ini mesti terus kita pelihara,” katanya.

Salleh turut menegaskan bahawa pemimpin perlu berani menegur sesuatu kesalahan tanpa mengambil kira kedudukan atau latar belakang individu yang melakukannya.

“Apabila sesuatu itu salah, kita mesti berani menyatakan bahawa ia salah, tanpa mengira siapa yang melakukannya,” katanya.

Kontroversi itu tercetus selepas Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said, ketika berucap sebagai jurucakap UMNO Selangor pada PAU 2026, menceritakan jenaka berunsur seksual yang menggunakan watak seorang paderi Katolik dan biarawati.

Jenaka tersebut turut mengaitkan Mazmur 129 dalam Bible dengan ungkapan berbaur seksual, sedangkan ungkapan berkenaan dilaporkan tidak terdapat dalam mazmur tersebut. — SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat