Setakat ini Umno hanya berpakat saling beri undi bukan lepaskan kerusi – Sanusi tidak selesa saranan Tok Mat

KUALA LUMPUR – Pemimpin Pas akui tidak selesa dengan saranan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan supaya membuktikan keikhlasan kerjasama melalui agihan kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN) dalam gabungan SG4 (Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis).

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Datuk Seri Sanusi Md Nor berkata, keikhlasan Pas tak perlu diuji kerana Umno sendiri tidak melepaskan mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada parti itu dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Sebaliknya, beliau berkata, keikhlasan Umno setakat ini hanyalah berpakat untuk saling memberi undi dan bukannya bagi melepaskan kerusi DUN.

“Suruh Tok Mat beritahu Pas, kerusi mana milik Umno yang sudah dilepaskan kepada Pas di Johor dan Negeri Sembilan atau di Melaka nanti.

“Kalau tiada satupun kerusi milik Umno yang diberi kepada Pas, kena nak uji keikhlasan Pas di negeri lain kerana keikhlasan Umno setakat ini hanyalah pertahan apa yang mereka ada.

“Berebut pula di kawasan yang belum dimiliki membabitkan kerusi Pakatan Harapan (PH) dan kerusi bukan Barisan Nasional (BN),” katanya menurut BH pada Isnin.

Kelmarin Mohamad dilaporkan berkata, PRN di satu negeri dalam gabungan SG4, khususnya Terengganu wajar dijadikan medan menguji keikhlasan rakan politik untuk menjalin kerjasama.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau dilaporkan berkata, cadangan itu boleh membuktikan sama ada kerjasama atas nama penyatuan ummah Melayu benar-benar ikhlas atau sekadar menguntungkan satu pihak.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, pula menyifatkan tiada keperluan untuk Terengganu mengadakan PRN berikutan keadaan negeri itu yang stabil dan pencapaian pentadbirannya sangat baik.

Beliau berkata, pilihan raya bukan alat mengukur keikhlasan muafakat politik kerana gelanggang demokrasi itu ialah mandat rakyat.

“Selagi tiada keperluan mendesak, rakyat tidak perlu dibebankan dengan tekanan politik dan kos yang bagi menghadapi PRN.

“Semua PRN negeri yang diadakan seperti Johor, Negeri Sembilan dan Melaka akan datang kerana tempoh yang sudah cukup atau ia terpaksa diadakan,” katanya.

Beliau berkata, formula yang diadakan di Negeri Sembilan ialah yang terbaik dengan mengekalkan kerusi dimenangi dan sepakat pada kerusi belum dimenangi.

Katanya, pendekatan terbaik kini ialah membubarkan Dewan Rakyat supaya mandat baharu diperoleh.

“Bola kini ditangan BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Yang penting PN sudah mengarahkan seluruh jentera bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat