KUALA LUMPUR – Malaysia kekal tegas dalam usaha mendapatkan semula aset berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd, termasuk menerusi tuntutan kira-kira S$1.298 bilion atau RM4.2 bilion terhadap DBS Bank Ltd di Singapura.
Kementerian Kewangan (MoF) berkata, tuntutan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Singapura oleh empat syarikat yang sedang dalam proses pembubaran bersama pelikuidasi yang dilantik mahkamah.
Menurut Pasukan Petugas Pemulihan Aset 1MDB, saman berkenaan melibatkan lima akaun DBS yang dibuka oleh empat syarikat tersebut pada 2013.
Dokumen pembukaan akaun menamakan Tan Kim Loong, yang turut dikenali sebagai Eric Tan, sebagai pemilik benefisial tunggal syarikat terbabit serta penandatangan bagi kelima-lima akaun tersebut.
Akaun berkenaan didakwa digunakan untuk menyalurkan lebih AS$1 bilion dana 1MDB dan SRC yang diseleweng antara 2013 hingga 2014.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha pemulihan itu bukan semata-mata bertujuan mendapatkan kembali wang yang hilang.
“Amanah, keyakinan terhadap institusi serta martabat Malaysia di mata rakan-rakan antarabangsa turut tergadai dalam episod hitam negara ini.
“Justeru, Kerajaan MADANI berikhtiar memperteguh tatakelola dan kebertanggungjawaban institusi agar pengkhianatan sebesar ini tidak berulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan angka terkini, keseluruhan obligasi 1MDB yang ditanggung kerajaan berjumlah RM51.4 bilion.
Jumlah itu merangkumi RM42.5 bilion yang telah dibayar kerajaan, manakala baki hutang yang masih perlu dijelaskan adalah sebanyak RM8.9 bilion.
Kerajaan setakat ini memperoleh kembali RM31.3 bilion menerusi usaha pemulihan aset, sekali gus menjadikan baki kerugian akibat skandal 1MDB yang bakal ditanggung kerajaan mencecah kira-kira RM20 bilion.
Usaha mendapatkan semula aset itu melibatkan kerjasama dan proses perundangan di beberapa negara, termasuk Amerika Syarikat, Switzerland, United Kingdom dan Singapura.
Antara pemulihan terbaharu ialah penyelesaian yang dicapai kerajaan dengan JPMorganChase pada Ogos 2025, melibatkan sumbangan RM1.4 bilion kepada Akaun Amanah Pemulihan Aset Malaysia.
Dana yang diperoleh semula menerusi akaun itu digunakan untuk membayar hutang dan memenuhi tanggungan kewangan sedia ada berkaitan 1MDB serta SRC, sekali gus mengurangkan beban terhadap kewangan awam. – SuaraTV



