Wajibkan modul integriti dan antirasuah kepada lembaga pengarah dan pegawai GLC

Oleh Datuk Mohamad Fauzi Husin

Pendahuluan

Ada satu persoalan yang semakin sukar untuk dielakkan. Apakah kerajaan masih mahu menunggu satu demi satu masalah tadbir urus dan jenayah rasuah berlaku sebelum memperkukuh benteng integriti di peringkat paling tinggi dalam GLC dan badan berkaitan kerajaan? Tabung Haji (TH), FELDA, MARA dan pelbagai GLC berdepan siasatan, kes pendakwaan dan keputusan mahkamah. Sampai bila integriti hanya diperkukuh selepas masalah berlaku? Persoalan ini bukan bertujuan menuduh semua pengerusi, ahli lembaga pengarah, CEO atau pegawai kanan GLC sebagai tidak berintegriti. Sebaliknya, ia lahir daripada satu hakikat yang sangat mudah: Semakin besar kuasa yang diberikan, semakin besar nilai amanah yang perlu dipertanggungjawabkan. GLC bukan mengurus wang kecil.Mereka mengurus dana awam, aset, pelaburan, tanah, projek, kontrak dan kepentingan yang nilainya boleh mencecah jutaan malah berbilion ringgit. Maka, apakah wajar aspek integriti dan antirasuah hanya dianggap sebagai kursus sampingan atau dibuat secara sukarela?

Empat Institusi, Empat Pengajaran

Pengajaran daripada TH ialah keputusan pelaburan bernilai besar mesti melalui semak dan imbang yang lebih ketat. Setiap pelaburan berisiko tinggi perlu melalui independent due diligence, penilaian risiko rasuah dan konflik kepentingan, dengan keputusan serta justifikasi lembaga pengarah direkodkan secara telus dan boleh diaudit.

Pengajaran daripada FELDA ialah kuasa membuat keputusan yang besar tanpa kawalan berkesan boleh meningkatkan risiko salah guna kuasa dan rasuah. Ia memerlukan tindakan memperkukuh fit and proper assessment, pengisytiharan konflik kepentingan, semakan transaksi pihak berkaitan dan pemantauan bebas terhadap keputusan bernilai tinggi. Sebelum ini, pada 26 Jun 2026, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta terhadap bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad. Sabitan itu melibatkan kesalahan terhadap sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3.09 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).

Pengajaran daripada MARA ialah jawatan tinggi bukan sekadar kuasa membuat keputusan, tetapi datang bersama tanggungjawab fidusiari dan statutori. Latihan khas diperlukan kepada pengerusi, ahli lembaga pengarah dan CEO mengenai tanggungjawab fidusiari, risiko rasuah dan akauntabiliti dalam keputusan agar sejarah lampau tidak berulang. Kegagalan mematuhi tadbir urus perlu direkodkan dan diambil tindakan sewajarnya. Pengajaran daripada PNBpula ialah sistem integriti boleh dibina secara sistematik melalui pengurusan risiko rasuah, latihan, dasar, pemantauan dan penglibatan lembaga pengarah. Jadikan amalan terbaik seperti ABMS ISO 37100 dan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) dan penilaian integriti sebaga istandard minimum seluruh GLC, dengan penilaian keberkesanan dilakukan secara berkala dan bebas.

Apa Yang Kerajaan Perlu Lakukan?

Empat kes ini tidak sepatutnya menghasilkan empat reaksi berasingan. Kerajaan perlu mengambil pengajaran secara menyeluruh dengan mewujudkan standard integriti, tadbir urus dan antirasuah di GLC. Standard itu hendaklah merangkumi kompetensi lembagapengarah, pengurusan risiko rasuah, konflik kepentingan, tanggungjawab fidusiari, kebebasanUnit Integriti Dan Governans (IGU), perlindungan pemberi maklumat, audit bebas dan akauntabiliti pengurusan tertinggi. Persoalannya bukan lagi sama ada kita mempunyai IGU, tetapi: Adakah IGU mempunyai kepakaran, sumber, akses dan kebebasan untuk bertindak apabila berdepan dengan keputusan yang dibuat oleh mereka yang berada di puncak kuasa?

Kes TH mengajar kita tentang risiko pelaburan. FELDA mengajar kita tentang kawalan kuasa. MARA mengajar kita tentang tanggungjawab fidusiari. PNB mengajar kita tentang pencegahan. Kini tugas kerajaan ialah menggabungkan semua pengajaran itu menjadi satu sistem tadbir urus GLC yang lebih kuat, seragam dan berkesan. Hal ini kerana matlamat akhirnya bukan sekadar mencari siapa yang bersalah selepas kerugian berlaku, tetapimemastikan sistem cukup kuat supaya salah guna kuasa, rasuah, kegagalan tadbir urus dan ketirisan dana awam dapat dicegah sebelum ia merugikan rakyat.

Sudah Masanya Ada “Lesen Integriti” Untuk Pemegang Amanah

Hal inilah cadangan yang perlu dipertimbangkan kerajaan. Setiap pengerusi, ahli lembaga pengarah, CEO dan pegawai kanan GLC yang dilantik sepatutnya diwajibkan mengikuti program atau kursus wajib dinamakan Modul Pengukuhan Integriti dan Antirasuah (MPIA).Bukan sekadar kursus separuh sehari. Bukan sekadar pegawai bawahan sahaja hadir kursus. Bukan sekadar tandatangan borang aku janji. Bukan sekadar angkat tangan kanan dan membaca “Ikrar Bebas Rasuah” sehaja. Bukan sekadar sijil yang dimasukkan ke dalam fail peribadi. Modul MPIA tersebut mesti benar-benar menguji kefahaman dan tanggungjawab mereka dalam perkara seperti jenis dan bentuk jenayah rasuah, peranan pemberi maklumat dan pengadu, punca, kesan dan akibat rasuah, konflik kepentingan, liabailiti korporat, peranan dan tanggungjawab Lembaga pengarah dalam memastikan kejayaan pengurusan ABMS ISO 37100, pelaksanaan OACP dan lain-lain elemen pengukuhan integriti, akauntabiliti, tadbir urus dan pencegahan rasuah.

Masalah Sebenar Bukan Sekadar “Siapa Yang Rasuah”

Kita sering melihat rasuah dari sudut pemberi dan penerima, tetapi dalam organisasi besar, persoalannya jauh lebih luas. Siapa yang meluluskan? Siapa yang mengetahui? Siapa yang sepatutnya bertanya? Siapa yang mempunyai kuasa untuk menghentikan? Siapa yang memilih untuk berdiam diri? Dan akhirnya: Siapa yang bertanggungjawab apabila amanah rakyat gagal dilindungi? Hal inilah budaya integriti dan akauntabiliti yang perlu dibina.

Kerajaan Tidak Perlu Menunggu Skandal Seterusnya

Jangan tunggu rasuah berlaku baru hendak mewajibkan kursus integriti dan antirasuah. Hal inilah perkara paling penting. Integriti tidak boleh menjadi subjek yang diajar selepas skandal berlaku. Kita tidak boleh menunggu: RM1 bilion hilang. RM5 bilion hilang. RM10 bilion hilang. Kemudian barulah kita bertanya: “Di mana silapnya?” Pencegahan mesti berlaku sebelum wang hilang, sebelum kuasa disalahgunakan dan sebelum kepercayaan rakyat runtuh. Kalau kerajaan serius dan sedar mahu memperkukuh tadbir urus GLC, maka pendidikan integriti di peringkat pemimpin dan kepemimpinan mesti menjadi syarat asas, bukan pilihan.

Kes-kes siasatan dan pendakwaan melibatkan TH, FELDA, MARA dan sebagainya amat penting dijadikan ikhtibar. Pengalaman pelbagai institusi berkaitan kerajaan sebelum ini sepatutnya cukup untuk membuka ruang kepada satu reformasi yang lebih besar. Jangan tunggu skandal seterusnya. Jangan tunggu berbilion ringgit lagi terpaksa diselamatkan.Jangan tunggu rakyat bertanya: “Ke mana hilangnya wang kami?” Kerajaan mempunyai peluang untuk bertindak sekarang. Wujudkan satu standard integriti nasional untuk pengerusi, ahli lembaga pengarah dan pegawai kanan GLC. Wajibkan latihan. Wajibkan pengisytiharan konflik kepentingan. Perkukuh fit and proper assessment. Perkukuh perlindungan pemberi maklumat. Audit keputusan berisiko tinggi. Apa yang paling penting, pastikan seseorang yang memegang amanah besar memahami bahawa kuasa bukan keistimewaan, tetapi tanggungjawab.

Adakah Unit Integriti dan Governans (IGU) Di GLC Mampu?

Persoalan ini penting untuk dijawab. Adakah IGU di GLC mempunyai kapasiti, kompetensi, kebebasan dan kuasa yang mencukupi untuk menangani risiko rasuah yang kompleks?” Hal ini kerana kewujudan IGU tidak semestinya bermaksud fungsi antirasuah sudah mencukupi.Malah, SPRM sendiri mempunyai program CeIO GLC yang bertujuan meningkatkan kredibiliti dan pengetahuan pegawai integriti, termasuk kemampuan menganalisis risiko rasuah dan membentuk pelan antirasuah organisasi. Syarat program itu antara lain menetapkan pegawai pengurusan tinggi, pengalaman sekurang-kurangnya lima tahun dan tapisan keutuhan.

Persoalan sebenarnya, adakah cukup kapasiti mereka? GLC bukan organisasi biasa. Mereka boleh mengurus pelaburan berbilion ringgit, perolehan, tanah, anak syarikat, kontrak, transaksi korporat dan pelaburan luar negara.

Risiko rasuah yang mereka hadapi juga semakin kompleks. Antararanya transaksi korporat dan pelaburan, konflik kepentingan, pemilikan benefisial, syarikat proksi, related-party transactions, manipulasi penilaian aset, pengurusan perolehan, kickback, pengubahan wangharam, campur tangan pihak berkepentingan dan keputusan lembaga yang mempunyai implikasi kewangan sangat besar.

Jadi, sebuah IGU kecil tidak boleh dianggap mampu menangani semua risiko tersebut hanya kerana ia mempunyai sebuah unit dan seorang ketua. Hal ini menunjukkan kompetensi Unit Integriti memang perlu dibangunkan secara berterusan. Akan tetapi ada satu persoalan yang lebih besar: Kepada siapa igu melapor?

Kalau IGU berada dalam organisasi yang sama dan bergantung kepada pengurusan yang mungkin menjadi subjek teguran atau siasatan, timbul persoalan tentang: kebebasan, keberanian dan autonomi IGU. Sebab itu, kita tidak boleh sekadar bertanya: “Berapa orang pegawai Unit Integriti ada?” Kita mesti bertanya: “Apakah kuasa yang mereka ada?”“Kepada siapa mereka melapor?” “Bolehkah mereka menyiasat atau mengemukakan teguran terhadap pengurusan tertinggi tanpa tekanan?” “Adakah mereka mempunyai akses terus kepada Jawatankuasa Audit atau Lembaga Pengarah?” “Adakah laporan mereka boleh sampai kepada pihak luar apabila terdapat konflik kepentingan?”

Jangan Jadikan IGU Sebagai “Hiasan Organisasi”

IGU tidak boleh diwujudkan sekadar untuk memenuhi struktur organisasi, mempunyai pejabat, pegawai dan program kesedaran, tetapi tidak mempunyai kekuatan, kepakaran dan kebebasan untuk mencabar keputusan yang berisiko. IGU perlu diperkasa dan bebaskan IGU dari “kawalan” pengurusan tinggi GLC. IGU perlu dinaik taraf daripada “unit pematuhan” kepada “benteng pencegahan rasuah organisasi”. Hal ini selari dengan perkembangan semasa apabila IIM memperkenalkan SPINE (Sistem Pengurusan Integriti dan Governans), yang berfungsi sebagai Integrity Health Check untuk mengenal pasti jurang kelemahan organisasi.

IGU Ada, Adakah Ia Cukup Kuat Untuk Menentang Rasuah Di Puncak?

Jika IGU diwujudkan untuk menjadi benteng pertama organisasi, kita perlu memastikan benteng itu bukan sahaja wujud, tetapi cukup tinggi, cukup kukuh dan cukup bebas untuk berdepan dengan sesiapa sahaja, termasuk mereka yang berada di puncak kuasa. Jangan salahkan IGU semata-mata apabila rasuah berlaku. Tanyakan terlebih dahulu: adakah kita memberikan mereka bilangan pegawai yang mencukupi, kepakaran yang diperlukan, akses kepada maklumat, kebebasan untuk bertindak dan kuasa untuk berkata “tidak” kepada keputusan yang mencurigakan?” Kalau bentengnya kecil tetapi ancamannya berbilion ringgit, jangan terkejut jika benteng itu akhirnya gagal menahan ombak.

Kesimpulan

Kerajaan tidak boleh mengubah masa lalu. Kerugian yang telah berlaku tidak boleh dipadam.Kepercayaan yang telah tercalar memerlukan masa untuk dipulihkan. Tetapi kerajaan boleh memastikan kesilapan yang sama tidak berulang. Itulah ukuran sebenar sebuah reformasi.Kita tidak boleh menghalang semua manusia daripada melakukan kesalahan. Tetapi kita boleh membina sistem yang menjadikan rasuah lebih sukar dilakukan, salah guna kuasa lebih mudah dikesan dan mereka yang mengkhianati amanah lebih cepat dipertanggungjawabkan.GLC bukan milik pengerusi. Bukan milik CEO. Bukan milik ahli lembaga pengarah. GLC ialah amanah yang akhirnya berkait dengan kepentingan rakyat dan negara. Maka, sesiapa yang diberi kuasa mengurusnya mesti memahami satu prinsip yang mudah tetapi sangat besar maknanya: “Lebih besar kuasa, lebih besar amanah. Lebih besar amanah, lebih tinggi tuntutan integriti.” Sudah tiba masanya Malaysia menetapkan satu prinsip baharu: Tiada siapa terlalu tinggi untuk diajar mengenai integriti dan tiada siapa terlalu berkuasa untuk dipertanggungjawabkan. Jangan tunggu satu lagi skandal untuk berubah. Jangan tunggu satu lagi bilion hilang untuk bertindak. Bertindaklah ketika masih ada peluang untuk mencegah.Hal ini kerana wang rakyat boleh diselamatkan dengan sistem yang baik, tetapi kepercayaan rakyat hanya boleh dipelihara dengan integriti.

Datuk Mohamad Fauzi Husin merupakan Presiden, Pertubuhan Integriti Dan Antirasuah Malaysia (INTRAS) dan bekas Timbalan Pesuruhjaya SPRM

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat