Kekal profesional dalam kerajaan meski berbeza pandangan dengan PM – Zahid

KUALA LUMPUR — UMNO akan terus menjalankan tanggungjawab secara profesional sebagai sebahagian daripada Jemaah Menteri dalam Kerajaan Perpaduan, meskipun terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan pemimpin dan perwakilannya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbezaan pendapat tidak seharusnya dilihat sebagai percanggahan terhadap komitmen parti kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, UMNO memahami peranan dan tanggungjawabnya sebagai anggota Jemaah Menteri serta kepimpinan parti yang perlu mengutamakan profesionalisme dalam melaksanakan amanah diberikan.

“Kita pun tidak tahu bila PRU akan datang. Jadi, kita akan terus berada di dalamnya dan selama kami berada di dalamnya, memang ada perbezaan pendapat.

“Tetapi kita adalah anggota Jemaah Menteri yang profesional dan juga kepimpinan parti yang profesional,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, di sini, hari ini.

Zahid berkata, pendirian UMNO untuk terus bersama Kerajaan Perpaduan sehingga akhir juga selaras dengan resolusi yang diputuskan dalam PAU.

“Pendirian kita tidak menyanggah mana-mana sosok tubuh, terutama YAB Perdana Menteri.

“Resolusi yang dibuat di dalam Perhimpunan Agung UMNO harus dihormati, bahawa kita terus bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan Malaysia yang ada ini hingga akhir,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata suara yang dilontarkan perwakilan atau jurucakap sayap-sayap UMNO perlu dilihat sebagai pandangan masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi kepimpinan parti.

Menurut Zahid, perbezaan pandangan adalah perkara biasa dalam politik dan perlu dihormati oleh semua pihak, termasuk parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Jadi, kita ambil pendirian itu, kita mahu penerimaan bahawa perbezaan pendapat itu harus dihormati. Begitu juga kami menghormati perbezaan pendapat yang dilontarkan oleh mereka,” katanya.

Zahid berkata pendekatan tersebut membolehkan UMNO terus memainkan peranan dalam kerajaan secara profesional tanpa menjadikan perbezaan pandangan sebagai polemik yang boleh menjejaskan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat