KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membalas sindiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mengingatkan bahawa UMNO tidak akan mengikut semua tindakan “gurunya”.
“Kita hendak ingatkan guru itu, jika guru kencing berdiri, kami tidak akan kencing berlari,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, hari ini.
Ahmad Zahid kemudian menyampaikan serangkap pantun:
“Berburu ke padang datar,
Dapat rusa si belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Bagaikan bunga kembang tak jadi.”
Kenyataan itu dipercayai ditujukan kepada Anwar susulan hantaran Perdana Menteri di Facebook yang menyindir kepimpinan UMNO sebagai “anak didik” dan meminta mereka belajar daripada “Guru” mengenai diplomasi MADANI.
Dalam hantaran dari New Delhi, India, malam tadi, Anwar menulis bahawa “Guru” telah selamat tiba bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS Ke-18.
“Alhamdulillah Guru selamat tiba di New Delhi, India untuk membawa nama negara di pentas dunia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18.
“Doakan misi diplomasi negara ini mencapai matlamatnya. Semoga anak didik dapat belajar dari Guru cara Diplomasi MADANI diterjemahkan. Slayyy,” tulisnya.
Walaupun Anwar tidak menyebut sebarang nama, penggunaan perkataan “Guru” dan “anak didik” dilihat sebagai jawapan kepada sindiran Ahmad Zahid dalam ucapan dasarnya sebelum ini.
Dalam ucapan penggulungannya, Ahmad Zahid turut mencabar pihak yang mahu Barisan Nasional (BN) meninggalkan Kerajaan Perpaduan supaya menyingkirkan gabungan itu secara rasmi.
Beliau berkata, pihak berkenaan mempunyai pilihan untuk mendapatkan mandat baharu melalui Pilihan Raya Umum (PRU) atau membawa usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
“Pilihan tuan-tuan, satu, dapatkan semula mandat baharu dengan mengadakan pilihan raya umum.
Dua, keluarkan kami secara rasmi dan kemudian buat undi tidak percaya di Dewan Rakyat,” katanya.
Ahmad Zahid turut membacakan sebahagian Perjanjian Persefahaman Kerjasama bagi Pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia yang dimeterai parti-parti selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurut beliau, penyertaan UMNO dan BN dalam kerajaan adalah berasaskan kerjasama antara parti dan tidak bermakna UMNO menyerahkan masa depan politiknya kepada mana-mana pihak.
“Kerana berada di Dewan Rakyat, tidak bermakna untuk menyerahkan masa depan parti.
“Kerjasama bukan penyerahan. Saya ulang, kerjasama bukan penyerahan,” tegasnya sambil disambut tepukan perwakilan.
Pertikaman lidah terbuka antara kedua-dua pemimpin tertinggi Kerajaan Perpaduan itu bermula apabila Ahmad Zahid dalam ucapan dasarnya meminta “guru” mendengar suara UMNO.
“Cukup-cukuplah, guru. Dengarlah suara kami, guru,” katanya.
Anwar kemudiannya membalas sindiran tersebut menerusi hantaran dari India dengan memperkenalkan dirinya sebagai “Guru” dan merujuk pihak yang disindirnya sebagai “anak didik”.
Pertukaran sindiran itu berlaku ketika UMNO menggunakan pentas perhimpunan agungnya untuk menegaskan bahawa kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan tidak bermakna parti itu perlu menyerahkan pendirian dan masa depan politiknya kepada pihak lain.



