Berguru kepalang ajar, jika berani singkirkan BN – Zahid jawab Anwar

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membalas sindiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mengingatkan bahawa UMNO tidak akan mengikut semua tindakan “gurunya”.

“Malah, yang berada di India sekarang pun, apa yang dia tulis? Dia suruh kita belajar daripada guru.

“Kita hendak ingatkan guru itu, kalau guru kencing berdiri, kami bukan kencing berlari,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, hari ini.

Ahmad Zahid kemudian menyampaikan serangkap pantun:

“Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.”

Beliau dipercayai merujuk kepada hantaran Anwar di Facebook yang menyindir kepimpinan UMNO sebagai “anak didik” dan meminta mereka belajar daripada “Guru” mengenai diplomasi MADANI.

Dalam hantaran dari New Delhi, India, malam tadi, Anwar menulis bahawa “Guru” telah selamat tiba bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS Ke-18.

“Alhamdulillah Guru selamat tiba di New Delhi, India untuk membawa nama negara di pentas dunia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18.

“Doakan misi diplomasi negara ini mencapai matlamatnya. Semoga anak didik dapat belajar dari Guru cara Diplomasi MADANI diterjemahkan. Slayyy,” tulisnya.

Walaupun Anwar tidak menyebut sebarang nama, penggunaan perkataan “Guru” dan “anak didik” dilihat sebagai jawapan kepada sindiran Ahmad Zahid dalam ucapan dasarnya sebelum ini.

Ahmad Zahid dalam ucapan penggulungannya turut menggunakan istilah “slay” dan “win”, dipercayai bagi membalas gaya bahasa yang digunakan Anwar dalam hantaran berkenaan.

“Kita ‘slay’, kita ‘win’,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid mencabar pihak yang mendesak BN meninggalkan Kerajaan Perpaduan supaya menyingkirkan gabungan itu secara rasmi.

“Jangan minta kita keluar daripada kerajaan. Mereka mencabar kita keluar daripada kerajaan. Kalau berani, keluarkan.

“Perkara yang harus diingat, Kerajaan Perpaduan Malaysia ini terbentuk kerana UMNO. Perdana Menteri menjadi Perdana Menteri kerana sokongan UMNO,” katanya.

Ahmad Zahid kemudian membacakan sebahagian Perjanjian Persefahaman Kerjasama berkaitan pembentukan dan operasi Kerajaan Perpaduan Malaysia yang dimeterai selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut beliau, kerajaan itu dibentuk berasaskan 82 kerusi yang dimiliki Pakatan Harapan (PH) ketika itu bersama 30 kerusi BN, sekali gus mencukupkan asas 112 kerusi bagi membentuk kerajaan.

“Jika kita diminta keluar, secara logiknya asas 112 kerusi itu sudah tiada. Jadi, sewajarnya mandat baharu mesti diperoleh.

“Pilihan cuma ada dua. Pertama, dapatkan semula mandat baharu dengan mengadakan pilihan raya umum.

“Kedua, keluarkan kami secara rasmi dan buat undi tidak percaya di Dewan Rakyat. Ada berani? Kalau berani, buatlah cepat. Kalau berani, bubarlah cepat,” katanya.

Ahmad Zahid menegaskan kerjasama itu dibentuk atas amanah kenegaraan dan bagi mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong untuk mewujudkan kestabilan pentadbiran demi kepentingan seluruh rakyat.

Bagaimanapun, katanya, kerjasama demi negara tidak bermakna UMNO dan BN menyerahkan masa depan politiknya kepada mana-mana pihak.

“Kerjasama bukan penyerahan. Saya ulang, kerjasama bukan penyerahan.

“Kita boleh bekerjasama tanpa kehilangan identiti, berunding tanpa menggadaikan prinsip serta mencari persamaan sambil menghormati perbezaan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan rakan kerjasama politiknya supaya tidak bersikap “habis madu, sepah dibuang” terhadap UMNO dan BN.

Pertikaman lidah antara kedua-dua pemimpin tertinggi Kerajaan Perpaduan itu bermula apabila Ahmad Zahid dalam ucapan dasarnya meminta “guru” mendengar suara UMNO.

“Cukup-cukuplah, guru. Dengarlah suara kami, guru,” katanya.

Anwar kemudiannya membalas sindiran tersebut menerusi hantaran dari India dengan memperkenalkan dirinya sebagai “Guru” dan merujuk pihak yang disindirnya sebagai “anak didik”.

Ahmad Zahid pada penghujung bahagian ucapannya sekali lagi menyentuh hubungan lamanya dengan Anwar dengan mendakwa beliau sebenarnya tidak pernah belajar daripada Presiden PKR itu.

“Sebenarnya, saya tidak pernah pun belajar dengan dia. Anak murid yang pandai tidak memerlukan guru,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat