Pahang 1st bukti gagasan perlu diterjemah kepada khidmat, empat pendekatan Biru untuk PRU16 – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR — UMNO perlu memperkukuhkan Agenda Malaysia Biru menerusi empat pendekatan utama iaitu Bina hubungan, Ikat pengundi, Rampas hati dan Ubah persepsi bagi memastikan parti lebih dekat dengan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pendekatan berkenaan perlu diterjemahkan kepada gerak kerja di akar umbi dan tidak sekadar menjadi slogan politik.

Beliau berkata pendekatan sama turut diterapkan menerusi gagasan Pahang 1st yang dibangunkan di negeri itu dengan memberi tumpuan kepada pembangunan yang dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.

“Pertama, B – Bina hubungan. Kita bina hubungan dengan rakyat, bukan hanya ketika pilihan raya, tetapi sepanjang masa.

“Kedua, I – Ikat pengundi. Kita ikat pengundi melalui khidmat, kepercayaan dan membantu masalah. Jangan hanya meminta undi, kita mesti memberikan sebab untuk rakyat terus percaya kepada UMNO.

“Ketiga, R – Rampas hati. Kita rampas hati rakyat dengan kerja yang nyata, bahasa yang dekat dengan rakyat serta kepimpinan yang memahami denyut nadi mereka.

“Keempat, U – Ubah persepsi. Kita mesti berani mengubah persepsi terhadap UMNO. Jangan biarkan orang lain menentukan cerita tentang kita. Kita sendiri mesti membawa naratif perjuangan, pencapaian dan tawaran masa depan UMNO kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Dewan Merdeka, di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata UMNO tidak boleh hanya mendekati rakyat ketika pilihan raya, sebaliknya perlu membina hubungan secara berterusan dengan anak muda, golongan profesional, usahawan, petani, pekerja, wanita dan masyarakat akar umbi.

Katanya, parti juga perlu memberi perhatian kepada pengundi atas pagar, pengundi muda serta pengundi FELDA yang mula menjauh.

“Rakyat tidak hanya mahu mendengar apa yang kita katakan, mereka mahu melihat apa yang kita lakukan untuk mereka.

“Inilah BIRU yang saya maksudkan. Bukan sekadar warna, bukan sekadar slogan, tetapi satu gerak kerja yang bukan hanya diukur dengan ramai orang datang ke program, tetapi bagaimana kita hendak menukar kehadiran itu kepada undi,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata pendekatan Pahang 1st dibangunkan berdasarkan prinsip bahawa pembangunan negeri mesti turut dirasai rakyat dan tidak boleh meninggalkan mana-mana golongan.

“Prinsipnya mudah. Kita mahu membangunkan negeri, tetapi pembangunan itu mesti dirasai oleh rakyat.

“Kita mahu mengejar kemajuan, tetapi tidak boleh ada rakyat yang ditinggalkan,” katanya.

Menurutnya, Pahang 1st bukan sekadar memberi penekanan kepada pembangunan fizikal dan pertumbuhan ekonomi, malah merangkumi pendidikan, pembentukan jati diri, kepimpinan, kesejahteraan rakyat, agama Islam, kebudayaan serta kesetiaan kepada institusi diraja.

Beliau berkata pendekatan itu turut diterjemahkan menerusi penubuhan Akademi Pahang 1st serta Sekretariat Apresiasi Pahang 1st yang disokong peruntukan RM100 juta.

Katanya, pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk penghargaan kepada 29,000 guru dan hampir 12,000 petugas kumpulan sokongan kesihatan, selain bantuan pendidikan kepada 22,678 pelajar SPM, STPM dan STAM di Pahang.

Wan Rosdy berkata pengalaman Pahang menunjukkan gagasan politik perlu diterjemahkan melalui program dan khidmat yang benar-benar memberi kesan kepada kehidupan rakyat.

“Dalam konteks politik, inilah yang saya percaya UMNO perlu bina. Bukan sekadar gelombang untuk menghadapi pilihan raya, tetapi gelombang kesedaran dan keyakinan rakyat terhadap perjuangan kita, seperti mana Agenda Malaysia Biru dengan lapan ikhtiarnya.

“Daripada sebuah gagasan, menjadi gerakan. Daripada gerakan, menjadi keyakinan; dan daripada keyakinan, diterjemahkan kepada undi kemenangan,” katanya.

Beliau berkata pendekatan berkenaan penting bagi memastikan UMNO memasuki PRU-16 bukan dengan bergantung kepada nostalgia masa lalu, tetapi dengan tawaran masa depan yang lebih dinamik, dekat dengan denyut nadi rakyat dan diyakini generasi baharu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat