KUALA LUMPUR — Kerajaan Malaysia kini berusaha mendapatkan persetujuan Nepal untuk membawa masuk ke Kuala Lumpur sampel DNA mangsa yang ditemui susulan tragedi banjir besar melanda negara itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata cadangan berkenaan bertujuan membolehkan proses pengecaman mangsa dilaksanakan dengan lebih pantas, mengambil kira keterbatasan kemudahan teknikal dan peralatan berkaitan di Nepal.
“Apa yang sedang kami rundingkan juga ialah untuk kita dapat menghantar pakar DNA untuk kita teliti atau kita nak minta supaya mereka hantar ke sini sampel mangsa yang sudah diambil supaya lebih mudah untuk kita mengenal ataupun membuat pemadanan DNA berkenaan,” katanya semasa melawat Laman Media Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, di sini hari ini.
Mohamad berkata perkara itu telah dibawa melalui saluran diplomatik, dengan Kedutaan Malaysia di Kathmandu mengemukakan permintaan berkenaan kepada pihak berkuasa Nepal.
Katanya, Malaysia masih menanti jawapan rasmi daripada kerajaan Nepal berhubung cadangan tersebut.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahan DNA milik waris terdekat kepada 55 rakyat Malaysia yang masih belum diketahui keberadaan mereka telah diperoleh untuk kegunaan proses perbandingan DNA.
Menurutnya, keperluan untuk mempercepatkan pengesahan identiti juga berkait dengan tempoh yang ditetapkan Nepal bagi membolehkan waris mendapatkan sijil kematian apabila seseorang yang hilang tidak ditemukan.
Di Nepal, sijil kematian bagi individu dalam keadaan berkenaan boleh diproses selepas tiga tahun, manakala Malaysia menetapkan tempoh tujuh tahun.
“Kalau boleh kita nak berunding supaya urusan seperti insurans dan yang lain-lain itu dapat diuruskan dengan segera. Itu sebabnya kita minta supaya kedutaan di sana berurusan dengan Kementerian Undang-Undang di Nepal.
“Bagaimana caranya untuk waris mendapatkan apa jua dokumen yang boleh mengesahkan bahawa rakyat Malaysia yang sehingga kini tidak dapat ditemui itu adalah hilang,” katanya.
Mohamad, yang juga Timbalan Presiden UMNO, berkata kesemua 55 rakyat Malaysia terbabit masih dalam senarai pencarian.
Berhubung penugasan SMART pula, beliau berkata anggota Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia itu dijangka meninggalkan Nepal dan kembali ke tanah air hari ini atau esok selepas tugasan mereka selesai.



