AUKU diganti dengan akta baharu yang lebih komprehensif – Zambry

KUALA LUMPUR — Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) akan digantikan dengan akta baharu yang lebih komprehensif bagi memenuhi keperluan pendidikan tinggi serta menghadapi perubahan pada masa hadapan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, proses menggubal akta baharu itu kini melibatkan sesi libat urus dengan pelbagai pihak bagi memastikan tiada kumpulan yang tercicir daripada memberikan pandangan.

Menurutnya, perbincangan telah diadakan bersama golongan akademik, pentadbir institusi pengajian tinggi, pertubuhan berkaitan serta wakil pelajar.

“Saya telah memulakan perbincangan-perbincangan dengan semua kumpulan kerana saya tidak mahu mana-mana kumpulan pun tertinggal apabila kita nak memuktamadkan sebuah akta yang baharu bagi menggantikan AUKU.

“Saya telah mengadakan beberapa siri pertemuan dengan pertubuhan-pertubuhan, sama ada daripada kalangan akademik dan pentadbir, termasuk juga kumpulan-kumpulan lain.

“Dalam beberapa hari lagi saya akan berjumpa dengan kumpulan-kumpulan yang lain. Termasuk juga saya telah berjumpa dengan Majlis Perwakilan Pelajar dan saya minta juga Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan yang mewakili semua untuk berbincang,” katanya ketika ditemui di Laman Media bersempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Zambry berkata, kumpulan yang mempunyai pandangan berbeza, termasuk yang bersetuju dan tidak bersetuju dengan cadangan tertentu, turut akan dibawa bersama dalam proses perbincangan.

Katanya, pendekatan itu penting bagi membolehkan kerajaan merangka sebuah akta yang benar-benar menyeluruh dan mengambil kira pelbagai pandangan.

“Maknanya saya nak supaya satu akta yang komprehensif, yang mengambil kira semua pandangan. Kerana kita ingin mewujudkan sebuah akta yang baharu, bukan untuk masa ini tetapi untuk masa hadapan negara kita.

“Jadi kita mahu menjangkakan apa yang akan berlaku. Saya sendiri melihat perundangan yang ada pada hari ini dan kita mewujudkan sebuah akta yang komprehensif,” katanya.

Beliau berkata, AUKU yang telah berusia 54 tahun sememangnya perlu dinilai semula mengambil kira perubahan yang berlaku dalam landskap pendidikan tinggi.

“Saya sebutkan berkali-kali bahawa AUKU itu diwujudkan pada 54 tahun yang lalu. Tentunya akan ada perubahan. Tentunya ada yang mengatakan bahawa ia sudah tidak sesuai.

“Dan sebab itu saya dah beritahu, mereka belum mengatakan terlalu jauh, ‘no more AUKU’. Datuk Seri Presiden semalam pun dalam ucapan beliau, beliau menyatakan, ‘no more AUKU’.

“Dan kita akan mewujudkan sebuah akta yang baharu, yang komprehensif,” katanya.

Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk memansuhkan AUKU dan menggantikannya dengan kerangka perundangan baharu yang lebih menyeluruh, termasuk melalui cadangan Akta Satu Pendidikan Tinggi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat