Pertama kali hadir PAU, Miha ajak anak muda sertai UMNO

KUALA LUMPUR — Keterujaan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) buat kali pertama sebagai ahli parti memberi pengalaman baharu buat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, Ismail Ayob, yang turut mengambil kesempatan mengajak lebih ramai anak muda khususnya di Sabah menyertai UMNO.

Beliau berkata, penyertaan generasi muda amat penting bagi memastikan kesinambungan perjuangan UMNO, selain memberi ruang kepada golongan berkenaan untuk membawa idea serta suara mereka dalam menentukan hala tuju parti dan masa depan Sabah.

“Ini pertama kali saya menghadiri sidang PAU sebagai ahli parti dan bagi saya, ini satu pengalaman yang sangat bermakna. Saya sangat teruja dapat berada di sini dan melihat sendiri bagaimana ahli-ahli parti bersama-sama membincangkan hala tuju UMNO.

“Saya juga ingin mengajak anak-anak muda supaya bersama-sama masuk UMNO kerana kita perlukan generasi baharu untuk meneruskan perjuangan parti ini. Jangan anggap UMNO ini hanya untuk orang lama, anak muda juga mempunyai peranan yang sangat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri PAU di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini.

Ismail berkata, kehadirannya pada PAU kali ini turut memberi peluang untuk membawa suara Sabah, terutama berkaitan dinamika politik negeri itu yang disifatkannya berbeza berbanding Semenanjung.

“Semalam Timbalan Presiden dan Presiden ada menyentuh mengenai corak politik yang berbeza antara Johor, Negeri Sembilan dan Sabah. Dinamika politik di Sabah memang agak berbeza sedikit daripada di Semenanjung.

“Bagi kami sebagai ahli UMNO di Sabah dan juga sebagai wakil rakyat berasaskan BN, perkara ini sangat penting kerana kita mahu memastikan suara Sabah terus diberi perhatian dalam parti,” katanya.

Menurutnya, perhatian Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap Sabah dalam ucapan dasar turut memberi semangat kepada wakil-wakil UMNO di negeri itu.

“Tadi pun Presiden ada menyentuh mengenai Sabah. Perkara itu bagi kami sebagai ahli parti UMNO di Sabah sangat bermakna. Kita mempunyai enam orang wakil rakyat sahaja, tetapi kita tidak mahu suara kita dianggap kecil atau tidak penting,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, realiti politik Sabah perlu difahami berdasarkan keadaan dan dinamik tempatan, khususnya dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai gabungan dominan yang diterajui Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

“Di Sabah, dinamika politiknya agak berbeza sedikit, yang mana parti dominan adalah GRS dan sudah tentu diketuai oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah.

“Bagi kita, Kerajaan Perpaduan Negeri Sabah ini harus kita hormati. Kita perlu melihat kepentingan rakyat dan kestabilan negeri sebagai perkara utama,” katanya.

Ismail turut merakamkan penghargaan kepada Hajiji kerana terus memberi ruang kepada wakil rakyat UMNO dan BN untuk memainkan peranan dalam kerajaan negeri meskipun jumlah mereka hanya enam orang.

“Kita ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri kerana tidak menyingkirkan kita. Walaupun kita hanya enam orang wakil rakyat di dalam Dewan Negeri, kita tidak tersisih dan tidak terpinggir.

“Bagi kami, itu satu perkara yang sangat penting dan kami sangat menghargai ruang yang diberikan untuk terus bersama-sama memainkan peranan demi rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan negeri perlu terus dipelihara bagi memastikan kestabilan politik Sabah dapat dikekalkan.

“Ini satu cabaran dan pada masa sama satu perkembangan yang sangat baik kepada kami selaku wakil-wakil berasaskan UMNO di Sabah. Kita akan sentiasa menjaga kerjasama Kerajaan Perpaduan selagi mana Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah dan Datuk Seri Panglima Hajiji masih bersama-sama dengan kita,” katanya.

Mengulas mengenai penglibatan anak muda, Ismail berkata, UMNO perlu terus membuka ruang lebih luas kepada generasi baharu untuk menyertai parti dan memainkan peranan dalam perjuangan politik.

“Anak muda jangan takut untuk masuk UMNO. Kita perlukan mereka untuk membawa idea baharu dan suara generasi mereka. Kalau kita mahu UMNO terus kuat dan relevan pada masa akan datang, kita mesti beri ruang kepada anak muda untuk bersama-sama dalam parti,” katanya.

Ismail berkata, beliau akan terus memainkan peranan sebagai wakil rakyat UMNO di Sabah dalam memperkukuh kerjasama politik serta memastikan kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

“Apa pun perancangan yang telah diatur, kita akan terus bersama-sama. Yang penting, kita jaga kerjasama, kita jaga kestabilan Sabah dan kita pastikan suara rakyat terus dibawa,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat