PRU-16 : Umno Kedah kena bersedia berdiri atas kekuatan sendiri – Mohamad Aswad

Oleh Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) masih belum benar-benar wujud, sama ada di peringkat negeri mahupun di peringkat akar umbi, kata Ketua Pemuda Umno Bahagian Sungai Petani, Mohamad Aswad Mohamed Amir.

“Kita boleh bercakap tentang Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional, tetapi realiti politik di Kedah berbeza. Kerjasama itu masih belum benar-benar terbina, di peringkat negeri manakala di peringkat akar umbi pula, hubungan masih jauh dan gerak kerja bersama hampir tidak kelihatan.

“Sebab itu Pemuda berpandangan, kalau menjelang PRU-16 keadaan ini masih sama, jangan kita terlalu bergantung kepada satu kerjasama yang hakikatnya belum pernah benar-benar terbina di Kedah.

“Umno Kedah kena bersedia berdiri atas kekuatan sendiri. Kita bina semula kekuatan parti. Kita rapatkan kembali akar umbi. Kita cari semula keyakinan orang Melayu dan rakyat Kedah. Kita tak perlu menunggu sesiapa untuk menentukan masa depan Umno di negeri ini, dan kalau akhirnya Umno perlu bergerak sendiri,”katanya.

Mohamad Aswad berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda Umno, sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU 2026) di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) dekat sini, pada Khamis.

“Kita jangan takut untuk bergerak sendiri , bukan kerana kita bermusuh dengan sesiapa. Bukan kerana kita menolak sesiapa, tetapi kerana sebuah parti yang mahu kembali mendapat kepercayaan rakyat.

“Mesti terlebih dahulu yakin dengan kekuatannya sendiri. Kalau ada kerjasama yang benar-benar ikhlas dan memberi manfaat kepada perjuangan, kita nilai. Tetapi kalau kerjasama itu hanya ada pada nama, sedangkan di bawah kita masih bergerak sendiri, maka lebih baik kita jujur dengan realiti.

“Umno Kedah mesti bersedia untuk bergerak, dengan kekuatan kita sendiri, kalau nak ambik balik Kedah, kita mesti berusaha untuk kembali. Tetapi jangan kita hanya tanya, macam mana kita nak ambik balik Kedah.

“Kuasa bukan hak kita, kuasa adalah amanah rakyat, kalau kita nak rakyat kembali kepada Umno bagi sebab kepada depa (mereka) untuk kembali. Bagi idea yang lebih besar dan tawaran yang lebih baik, kita tampilkan kepimpinan yang boleh menyelesaikan masalah.

“Buktikan bahawa generasi Umno hari ini, bukan hanya pandai bercakap tentang legasi orang dulu, tetapi mampu membina legasi kita sendiri,”katanya lagi.

Terdahulu, beliau berkata Kedah negeri yang cukup unik, sawahnya memberi makan kepada rakyat negara ini, tetapi dalam negeri yang sama, berdirinya juga antara ekosistem industri teknologi tinggi yang penting kepada negara.

Katanya, daripada bendang kepada semikonduktor, daripada pesawah kepada jurutera, daripada ekonomi tradisional, kepada ekonomi teknologi tinggi, Kedah sebenarnya ada segala-galanya.

“Persoalan Pemuda hari ini ialah sejauh mana segala kekuatan ini benar-benar mengangkat kehidupan anak Kedah ?

“Kalau sebut Kedah, orang ingat padi, tapi bagi kami orang Kedah, sawah bukan sekadar tempat orang berhenti tepi jalan nak ambik (ambil) gambar. Di belakang setiap bendang itu ada kehidupan. Ada keluarga yang bergantung kepada hasil sawah. Ada pesawah yang turun bendang pagi petang, dan ada tanggungjawab untuk memastikan makanan ruji rakyat Malaysia terus ada.

“Hari ini kita bercakap tentang meningkatkan produktiviti dan penanaman sehingga lima musim dalam tempoh dua tahun.

“Pemuda sokong kalau usaha ini baik untuk pesawah dan keterjaminan makanan negara, tetapi saya nak pesan satu benda.

“Kalau nak tambah musim, pastikan air cukup, kalau nak tingkatkan produktiviti, pastikan infrastruktur bersedia. Kalau nak guna teknologi, pastikan pesawah mampu menggunakannya. Jangan tambah beban pesawah atas nama menambah hasil.

“Kita kena fikir satu soalan. Hari ini ayah turun ke sawah. Tok kita dulu turun ke sawah,
tetapi siapa yang akan turun ke sawah 20 tahun lagi? Anak muda bukan tak mau masuk bidang pertanian, tetapi mereka nak nampak masa depan.

“Depa (mereka) nak pendapatan yang stabil. nak teknologi, nak pertanian menjadi satu kerjaya dan perniagaan yang boleh dibanggakan. Kalau kita nak Kedah kekal sebagai negeri Jelapang Padi, kita bukan sekadar kena jaga sawah.

“Kita kena jaga orang yang mengusahakan sawah, sebab bagi Pemuda, kejayaan industri padi bukan sekadar berapa banyak padi yang kita keluarkan. Soalan sebenarnya ialah, adakah kehidupan pesawah kita semakin baik ? Kalau hasil naik, tapi hidup pesawah tak berubah, kita belum boleh kata kita berjaya,”katanya lagi.

Mengenai Kulim Hi-Tech Park (KHTP) beliau berkata, ianya bukan projek yang siap dalam tempoh sehari dua, dibangunkan sejak era 1990-an dengan perancangan jangka panjang dan hari ini, selepas lebih kurang tiga dekad, KHTP masih berkembang.

Katanya, Kerajaan bertukar, Menteri bertukar, Menteri Besar bertukar, tetapi KHTP masih ada, industri terus berkembang dan pelaburan terus masuk.

“Peluang pekerjaan diwujudkan, itulah yang kita panggil legasi. Saya sebut KHTP bukan nak bergaduh siapa paling layak ambik kredit, tak perlu.

“Yang baik, kita teruskan, tetapi apabila pelaburannya besar, soalan Pemuda juga mesti besar. Anak Kedah dapat apa, berapa ramai anak tempatan berada dalam pekerjaan bernilai tinggi, berapa ramai kontraktor dan usahawan tempatan masuk dalam rantaian bekalan?

“Berapa ramai anak muda kita boleh membina kerjaya tanpa terpaksa meninggalkan negeri sendiri? Rakyat tak boleh hidup dengan angka pengumuman semata-mata. Anak muda tak boleh bayar ansuran rumah dengan angka pelaburan.

“Pelaburan mesti turun menjadi pendapatan rakyat, pelaburan mesti menghasilkan pekerjaan berkualiti, pelaburan mesti melahirkan usahawan tempatan dan pelaburan mesti memberi peluang kepada anak muda membina masa depan.

“Di negeri sendiri, kita nak tengok anak Kedah menjadi jurutera, teknologis, pengurus dan tenaga profesional, dan satu hari nanti, kita nak tengok depa (mereka) menjadi pemilik perniagaan atau pemilik industri itu sendiri.

“Jangan sampai, kilang dan tanah di Kedah, alamat syarikat di Kedah, tapi anak Kedah dok tengok dari luaq (luar) pagar saja, sebab itu hari ini pemuda membawa tiga tuntutan,”ujarnya.

“Tuntutan pertama, latihan dan pembangunan bakat mesti berdasarkan pekerjaan yang industri betul-betul perlukan seperti TVET, kolej, universiti dan industri mesti bergerak bersama menyediakan anak muda kita untuk pekerjaan masa depan.

“Tuntutan kedua, kontraktor, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan tempatan yang berkemampuan mesti diberi ruang dalam rantaian ekonomi industri besar. Kita bukan minta kontrak percuma. Kita tak mahu budaya Ali Baba, tetapi kalau anak tempatan mampu, bagi dia peluang bersaing.

“Tuntutan ketiga, jangan ukur kejayaan pelaburan berdasarkan berapa bilion masuk sahaja. Ukur juga berapa pekerjaan yang berkualiti diwujudkan, berapa anak tempatan mendapat manfaat dan berapa syarikat tempatan berjaya berkembang,”ujarnya lagi.

Tambahnya, projek boleh diumumkan hari ini, tetapi legasi hanya boleh dinilai apabila rakyat merasai hasilnya.

“Sebagai Pemuda Umno, kita tak boleh jadi pemerhati saja. Kalau benda baik, kita sokong. Kalau ada kekurangan, kita tegur. Kalau rakyat perlukan suara, kita bersuara, sebab Pemuda bukan hanya pewaris parti.

“Politik mungkin lima tahun, tetapi perancangan sebuah negeri mesti melihat 20 tahun, 30 tahun, malah lebih jauh daripada usia politik kita sendiri, pemimpin datang dan pergi, kerajaan boleh bertukar.

“Tetapi kalau kita tinggalkan sesuatu yang baik, rakyat akan menikmatinya walaupun nama kita sudah tidak lagi disebut. Itulah legasi, sebab itu mesej yang saya bawa dari Kedah pada hari ini cukup mudah.

“Kita nak sawah yang memberi kehidupan kepada pesawah. Kita nak industri yang memberi masa depan kepada anak muda. Kita nak pelaburan yang membuka peluang kepada usahawan tempatan.

“Kita nak pembangunan yang benar-benar dirasai rakyat. Kita nak anak muda bukan sekadar menjadi pekerja kepada pembangunan, tetapi menjadi pemain dalam pembangunan itu sendiri,”tambahnya lagi. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat