Pemuda Ampang sambut gesaan Zahid supaya PRU16 disegerakan – Mior Azlan

KUALA LUMPUR — Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengulangi gesaannya supaya Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) disegerakan sebelum tempoh Parlimen Penggal Ke-15 berakhir tahun depan, dengan menegaskan mandat perlu dipulangkan kepada rakyat untuk menentukan semula hala tuju negara.

Gesaan itu disambut baik perwakilan Bendahari UMNO Ampang, Mior Azlan Mior Kamarulbaid yang berpandangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu bersedia menghadapi PRU16 serta berdepan lawan politik di medan pilihan raya.

Menurutnya, BN tidak seharusnya terus dibebankan untuk melunaskan manifesto dan agenda reformasi yang gagal disempurnakan Pakatan Harapan (PH), termasuk pelbagai janji yang dikemukakan kepada rakyat pada PRU15.

“Saya melihat apa yang disebut oleh Presiden dalam ucapan dasar beliau itu sangat jelas, iaitu mandat perlu dipulangkan kepada rakyat dan kita perlu bersedia menghadapi PRU16. BN tidak seharusnya terus dibebankan untuk melunaskan manifesto dan agenda reformasi yang sebelum ini dijanjikan oleh PH tetapi gagal disempurnakan.

“Pada PRU15, PH hadir dengan pelbagai janji yang dilihat populis, termasuk minyak RM1.50, PTPTN, penghapusan tol, sarapan percuma, peruntukan pembangunan kawasan yang sama rata kepada semua Ahli Parlimen, biasiswa B40, akta penggal tetap termasuk had tempoh Perdana Menteri 10 tahun serta pemisahan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

“Namun selepas diberi ruang untuk mentadbir, sebahagian daripada janji tersebut masih gagal direalisasikan seperti yang ditawarkan kepada rakyat. Jadi, kita perlu bertanya, sampai bila BN perlu terus menanggung beban untuk menyelesaikan perkara yang dijanjikan oleh pihak lain sebelum ini?” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini semalam.

Mior Azlan berkata, lebih mengecewakan apabila kelemahan dan kegagalan dalam melaksanakan janji berkenaan dipersoalkan, PH dilihat lebih gemar membina naratif politik dengan terus menyerang serta memburukkan pemimpin UMNO.

“Lebih mengecewakan apabila kelemahan dan kegagalan ini dipersoalkan, PH dilihat lebih gemar membina naratif politik dengan terus menyerang dan memburukkan pemimpin UMNO. Isu seperti Tabung Haji, isu yang melibatkan Timbalan Perdana Menteri dan KKDW serta pelbagai kontroversi lain terus dijadikan bahan politik.

“Seolah-olah segala permasalahan negara berpunca daripada UMNO. Sedangkan kita sepatutnya melihat kepada perkara yang lebih besar, iaitu prestasi kerajaan dan sejauh mana janji kepada rakyat telah dilaksanakan.

“Rakyat sudah tentu boleh menilai sendiri siapa yang benar-benar bekerja dan siapa yang hanya bermain dengan naratif politik. Sebab itu saya fikir PRU16 adalah ruang untuk rakyat membuat penilaian secara menyeluruh,” katanya.

Beliau turut menyifatkan keputusan pilihan raya negeri di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan sebagai perkara yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak, khususnya dalam menilai semula sokongan rakyat terhadap parti-parti politik.

“Kita juga telah melihat keputusan di tiga PRN iaitu Sabah, Johor dan Negeri Sembilan. Ini menunjukkan dinamika politik dan kehendak rakyat sentiasa berubah. Jadi, kita tidak boleh mengambil mudah mandat rakyat.

“UMNO dan BN perlu bersedia, turun kepada rakyat dan menjelaskan apa yang telah kita lakukan serta apa yang kita tawarkan untuk masa depan. Kita tidak boleh hanya bergantung kepada serangan politik terhadap pihak lain,” katanya.

Mior Azlan berkata, UMNO dan BN juga perlu memperkukuh jentera serta memastikan parti benar-benar bersedia sekiranya PRU16 diadakan lebih awal.

“Apa yang penting sekarang ialah kesiapsiagaan. Kalau mandat dipulangkan kepada rakyat, kita mesti bersedia. Jangan apabila pilihan raya sudah diumumkan baru kita hendak bergerak.

“Kita perlu memastikan akar umbi kuat, mesej parti jelas dan rakyat memahami apa yang BN mahu bawa. PRU16 nanti bukan sekadar soal menang atau kalah, tetapi soal meyakinkan rakyat bahawa kita mempunyai hala tuju yang jelas untuk negara,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat